BATALKAN RANCANGAN UNTUK LIBATKAN TENTERA KAWAL KETENTERAMAN AWAM

Saya ingin membuat bantahan terhadap rancangan kerajaan untuk mengerahkan anggota tentera membantu polis mengawal ketenteraman awam sewaktu perhimpunan awam diadakan - sama ada yang dijadualkan Ahad ini atau yang akan datang.

Saya hairan apakah motif kerajaan BN mahu menyeret Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dengan tugas dan tanggungjawab pihak Polis. Tidak cukupkah lagi duit rakyat dibazirkan dengan mengerahkan Polis mengawal dan menganggu perhimpunan aman rakyat.

Cadangan tersebut akan memberi gambaran yang salah kepada rakyat Malaysia dan dunia amnya, seolah-olah negara dalam keadaan krisis atau berdepan dengan perpecahan.Malah, perhimpunan-perhimpunan yang diadakan sebelum ini berjalan secara aman tanpa perlu kehadiran anggota tentera.

Cadangan ini juga jika diteruskan membuktikan Polis gagal menjalankan tugas mereka. Kerajaan seolah-olah memperkecilkan kredibiliti dan kemampuan untuk mengawal ketenteraman awam.
Jika kerajaan meneruskan juga rancangan ini, bermakna bahawa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini yang menyatakan keadaan keselamatan di negara ini adalah terkawal, tidak begitu meyakinkan.

Ini sudah tentu akan menimbulkan keraguan mengenai kemampuan Perdana Menteri untuk memberi kepimpinan yang positif dan kemungkinan ada anasir dalam kerajaannya yang cuba memberi gambaran seolah-olah timbul keadaan tidak stabil untuk mencapai agenda politik mereka.

Gambaran buruk ini sudah tentu akan mengurangkan keyakinan pihak luar samada pelancong atau pelabur untuk melawat dan menjalankan perniagaan di negara kita.

Oleh itu saya menegaskan sekali lagi bahawa rancangan untuk melibatkan ATM dalam kerja mengawal ketenteraman awam ini mesti dibatalkan.

Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka
http://mutaligat.blogspot.com/

Comments