AIR PERCUMA & SKIM TAKAFUL : JANGAN MALU TIRU KERAJAAN PAKATAN RAKYAT

Saya mencadangkan kerajaan negeri Melaka mencontohi kerajaan negeri Selangor dan Perak yang memberikan kemudahan air percuma berjumlah 20 meter padu kepada rakyatnya. Langkah kedua-dua negeri Pakatan Rakyat ini patut dicontohi kerana ianya jelas dapat membantu meringankan beban rakyat negeri Melaka yang semakin terhimpit dengan kenaikan harga minyak dan harga barangan keperluan.

Kerajaan negeri Melaka tidak perlu malu atau segan untuk mencontohinya kerana apa yang penting rakyat mesti dibantu bagi meringankan beban mereka. Rakyat negeri Melaka bukannya kaya sebagaimana kayanya pimpinan kerajaan negeri yang memerintah Melaka sekarang. Masih terdapat 785 buah keluarga yang miskin di dalam negeri Melaka. Angka ini berdasarkan Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang lama iaitu sebelum inflasi meningkat akibat kenaikan harga minyak dan barangan lain. Jika PGK ini dinaikkan dan memang sepatutnya dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM1,500 sudah tentu bilangan orang miskin meningkat menjadi 25 % di dalam negeri Melaka.Rakyat miskin inilah mesti dibantu. Maka jika kerajaan negeri dapat memberikan air percuma 20 meter padu seperti kerajaan Selangor dan Perak sudah tentu dapat meringankan beban mereka.

Kerajaan Selangor memulakan skim pemberian 20 meter padu secara percuma bermula 1 Jun manakala Kerajaan Perak melaksanakannya pada 1 Ogos ini.

Selain itu saya juga mencadangkan kerajaan negeri Melaka mencontohi kerajaan negeri Perak dan Selangor yang memberikan ganjaran RM1,000 seorang kepada anak negeri Perak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Saya juga mencadangkan kerajaan Negeri Melaka mencontohi Kelantan yang menjalankan Skim Takaful Kifaalah dan Takaful Armalah. Takaful Kifaalah ialah skim takaful untuk warga emas di mana seseorang warga emas yang meninggal keluarga mereka akan mendapat RM500 pada hari kematian dan bakinya RM2,000 selepas itu. Jumlah keseluruhannya RM2,500.

Sejak dilancarkan 7 Februari 2007, jumlah pendaftaran telah mencecah 83,091 orang atau 60 peratus daripada 139,000 warga emas seluruh Kelantan dan setakat ini 370 wasi (pewaris) kepada warga emas yang telah meninggal dunia mendapat pampasan masing-masing sebanyak RM2,000.00.

Skim Takaful Armalah pula ialah Program Takaful bagi membantu ibu tunggal yang menyediakan bayaran manfaat sehingga RM2,500 terhadap kematian atau kemalangan kepada ibu tunggal. Jadi saya mengharapkan kerajaan negeri Melaka mencontohi kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat dalam menjaga kebajikan rakyat terutama rakyat miskin.

Tidak syak lagi pemberian air percuma 20 meter padu, insentif untuk pelajar-pelajar yang memasuki IPTA, Skim Takaful Armalah dan Kifaalah serta lain-lainnya amat bermanfaat kepada rakyat.

Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Melaka boleh meniru dan menggunapakai sistem tersebut untuk diamalkan di negeri ini. Pegawai-pegawai kerajaan Selangor, Perak dan Kelantan boleh dipanggil untuk memberikan taklimat kepada kerajaan Negeri Melaka bagaimana untuk menjalankan skim-skim tersebut.

Comments

Anonymous said…
Assalaamu'alaikum w.b.t.... apa kabar ya akhi? Alhamdulillah, sepintas lalu not baad isi2 blog ni hehe. Saya akan add link blog ni ke blog saya. Salaam ukhuwwah ya akhi , ila lliqo' insyaALLAH, jazaakallahu khoirol jazaa' :)
WebM said…
Mana berani tiru
Nnti jatuh le maruah mereka di sana

http://webmelayu.blogspot.com/