YB UMNO BERCAKAP TIDAK BERASASKAN REALITI

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Ismail Othman dalam kenyataannya semalam menasihatkan para nelayan di Kuala Sungai Baru, agar tidak membuat andaian yang tidak jelas berhubung isu alam sekitar ekoran kerja-kerja mengorek bijih timah di kawasan perairan Selat Melaka berhampiran daerah tersebut.

Katanya, nelayan hanya boleh membuat andaian dan pelbagai gambaran mengenainya memandangkan ia tidak disokong oleh mana-mana kajian alam sekitar mengenainya.

Memang pandai ADUN ini bercakap dan memberikan pendapat macam Professor universiti terkenal atau umpama seorang Environmetalist terkenal.

Malangnya ADUN ini tidak peka kepada realiti sebenar yang berlaku kepada nelayan di kawasan tersebut. Saya ingin menarik perhatian YB tersebut supaya merujuk kepada keluhan dan aduan yang dibuat oleh para nelayan terbabit yang disiarkan oleh media arus perdana Mei lalu.

Dalam kenyataannya kepada media tersebut Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat, Ab. Samad Ab. Malek berkata, rata-rata nelayan kawasan itu memperoleh pendapatan agak lumayan sebelum operasi mengorek bijih timah mula beroperasi di kawasan berkenaan kira-kira empat bulan lalu.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, nelayan di situ meliputi nelayan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru, Telok Gong, Kampung Baru, Tanjung Dahan, Kampung Tengah dan Ramuan China mendakwa hasil tangkapan berkurangan, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka sehingga 30 peratus.

''Saya sendiri setelah hampir lapan tahun bergelumang dengan laut hanya berpuas hati dengan pendapatan hari ini yang saya peroleh sekitar RM1,500 sebulan kerana hasil tangkapan semakin berkurangan.

''Bayaran pampasan yang diberikan oleh syarikat bijih timah terbabit terlalu sedikit iaitu RM1,800 setahun, sedangkan permintaan nelayan RM1,800 selama sebulan, ini bermakna bayaran pampasan mereka kepada kami kira-kira hanya RM4.50 sehari," katanya kepada media tersebut yang disiarkan pada 19 Mei lalu.
Persoalannya sekarang apakah YB Ismail ingin menafikan fakta yang dinyatakan oleh nelayan di atas. Fakta tersebut bukannya ANDAIAN, tetapi merupakan pendapatan yang mereka perolehi sekarang, jauh berbeza dengan apa yang mereka perolehi sebelum projek ini dijalankan.

Kita harap YB BN ini dapat mengkaji dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya demi untuk kesejahteraan nelayan di kawasan tersebut yang kian sengsara kerana kurangnya pendapatan harian mereka. Apatah lagi sekarang ini harga minyak dan barangan harian sudah naik dengan mendadak.

Comments