Umno Perlis sudah pasti bergolak kerana akan berlaku pertembungan di antara 'orang' Tok Dan dan Tok Isa pada pemilihan Cawangan dan Bahagian yang akan bermula Julai ini. Pertembungan mungkin tidak dapat dibendung lagi kerana masing-masing ingin mencari pengaruh akar umbi bagi meneruskan kesinambungan kuasa masing-masing.
Tok Dan sudah pasti ingin menzahirkan bahawa beliau masih mempunyai sokongan akar umbi, apatah lagi Tok Isa bukanlah 'orang' Pak Lah. Beliau dipilih oleh Sultan.
Maka pertembungan ini sudah tentu menarik dengan masing-masing akan menggunakan apa sahaja senjata yang ampuh untuk 'mematikan' lawan masing-masing. Riak-riak pertembungan ini tidak dapat disembunyikan lagi.
Dalam bahagian Arau sendiri iaitu Bahagian Umno yang diketuai oleh Ton Dan dan adiknya Tok We sebagai Ketua dan Timbalannya, besar kemungkinan akan berlaku pertandingan di peringkat tertinggi tersebut.
Tok Dan, yang juga ketua perhubungan Umno Perlis, dijangka akan ditentang oleh bekas naib ketua bahagian itu Amir Hassan - sekarang setiausaha politik menteri besar Datuk Dr Md Isa Sabu.
Tok We, ahli parlimen Arau, pula mungkin dicabar oleh bekas pemimpin Pemuda bahagian Zainuddin Yom dan seorang lagi calon kumpulan pro-menteri besar, Khalib Ahmad.Zainuddin kini ahli jawatankuasa bahagian, sementara Khalib pula setiausaha khas menteri besar.
Jawatan naib ketua bahagian bakal menyaksikan pertandingan antara penyandangnya Sulaiman Shafie, bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan bekas ketua Pemuda bahagian Ammar Hassan, dikatakan pernah dicantas oleh Tok Dan.
Ketua Pemuda bahagian Rozabil Abdul Rahman, bekas setiausaha Tok Dan, akan ditentang oleh Abu Bakar Hamzah, bagi pihak kumpulan pro-menteri besar.
Menurut sumber itu lagi, Rozabil tidak diminati oleh perwakilan Pemuda Perlis kerana beliau "bukan orang tempatan".
Bagi jawatan ketua wanita bahagian pula, Mastika Junaidah Hussain (yang sepatutnya bersara) akan mempertahankan jawatan tersebut.Beliau akan ditentang oleh pencabarnya penggal lalu, Sabani Ahmad.
Bagi jawatan ketua Puteri, penyandangnya Rozieana Ahmad tidak akan mempertahankan jawatan tersebut kerana telah melepasi had umur pergerakan itu iaitu 35 tahun. Akibat kekosongan itu, Wan Noor Dizamdila Wan Mustapa telah menawar diri untuk jawatan tersebut.
Sumber itu menjelaskan, ahli-ahli bahagian tersebut terkilan dengan insiden pijak bendera Umno dan merobohkan bilik gerakan di semua lima kawasan DUN di saat-saat Tok Dan diura-urakan tidak tersenarai sebagai calon BN pada Februari lalu.
Sementara itu, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam telah memutuskan untuk menunda pemilihan cawangan-cawangan di bahagian Arau - yang dijadualkan Julai dan Ogos depan - sehingga selepas pilihanraya kecil Sanglang, Perlis.
Pilihanraya kecil DUN itu, dalam bahagian Arau, akan diadakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kangar pada 18 Jun yang mengosongkan kerusi itu selepas menerima bantahan dalam petisyen pilihanraya calon PAS, Ustaz Haji Hashim Jasin, Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis.
Dalam pilihanraya umum Mac lalu, kerusi itu dimenangi oleh calon Umno, Abdullah Hassan dengan majoriti kecil, 45 undi.
Sumber berita dan gambar : Malaysiakini
Comments