UMNO SEMAKIN CACA MARBA DAN SESAT

Umno memanglah sebuah parti busuk lagi membusukkan. Banyak langkah-langkah yang diambil bagi mengelakkan kekecohan pada pemilihan Umno dilihat tidak demokratik, tidak masuk akal dan kebudak-budakan.

Umno telah semakin sesat dengan mengharamkan perkara yang dihalalkan oleh Islam iaitu kenduri dan mengeratkan silaturrahim. Malah keputusan ini sebenarnya akan merenggangkan ahli-ahlinya yang sudah sedia bermusuhan.

Sistem Kuota yang diamalkan sejak zaman Tun Mahathir merupakan sistem yang paling tidak demokratik dan menghalang persaingan sihat di antara calon-calon yang bertanding. Semua ini menyebabkan kepimpinan Umno menjadi 'mandom' dan lemah, hanya dipimpin oleh orang yang tidak layak tetapi menang disebabkan sistem kouta yang menyelamatkan seseorang calon terutama posisi Presiden dan Timbalan Presiden.

Hari ini akhbar pengampu Umno dalam edisi internetnya melaporkan bahawa calon-calon yang terlibat dalam pemilihan UMNO ditegah menggunakan ejen, pelobi, pengurus kempen dan perayu undi bagi mengelakkan risiko digantung keahlian dan dipecat daripada parti.

Tataetika baru pemilihan UMNO yang diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT) baru-baru ini turut melarang calon-calon daripada menghadiri majlis perkahwinan, tahlil dan kesyukuran yang dikhuatiri digunakan untuk meraih undi.

Tataetika itu mengkehendaki ahli parti dan calon tidak terlibat dalam salah laku tersebut dan mematuhi ‘tempoh pemilihan’ yang meliputi jangka masa enam bulan sebelum dan enam bulan selepas pemilihan berlangsung.

Sepanjang tempoh pemilihan, ahli-ahli UMNO juga dilarang menerima atau membenarkan anggota keluarga, termasuk isteri, menerima sebarang bentuk hadiah seperti tambang percuma, kemudahan perjalanan, saham, konsesi, kontrak, gelaran dan anugerah.

“Kecuali majlis pertemuan yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia atau Jawatankuasa Penyelaras Pemilihan negeri di bawah seliaan Badan Perhubungan UMNO negeri, ahli-ahli parti dalam tempoh pemilihan dilarang menganjurkan sebarang pertemuan.

“Contohnya, ahli menghadiri dan menganjurkan kenduri atau majlis tahlil yang disertai pula oleh calon yang berucap untuk meraih undi,” menurut kandungan tataetika itu yang diperoleh Utusan Meloya hari ini.

Selepas ini pemimpin Umno yang bertanding nampaknya kena berkurung di rumah tidak boleh menghadiri kenduri, membuat kenduri, tahlil dan sebagainya. Memang untuk mereka selamat dari diambil tindakan mereka kena duduk dalam gua.

Bagaimana kalau kenduri tersebut di anjurkan oleh saudara-mara atau adik beradik mereka yang juga merupakan ahli Umno yang akan mengundi pada pemilihan cawangan atau bahagian?

Bagaimana kalau mereka terpaksa mengadakan kenduri kahwin anak atau kenduri arwah ahli keluarga yang meninggal? Nampaknya mereka kena panggil jin dan binatang ternakan untuk hadir sebab mereka ditegah memanggil manusia yang bercop Umno.

Inilah bukti bahawa berada dalam keadaan yang sangat kritikal dan tenat. Pertentangan dan perkelahian sesama mereka sudah sampai ke tahap kronik sehingga keputusan yang tidak masuk akal seperti di atas di ambil.

Saya melihat semua keputusan ini di ambil adalah semata-mata untuk menyelamatkan Pak Lah dan kuncu-kuncunya yang kian hari kian tersepit.

Kita mengharapkan Umno supaya dimuziumkan kerana ianya jelas sudah tidak relevan dan sudah ditolak oleh rakyat.

Pemilihan UMNO di peringkat cawangan akan bermula dari 17 Julai hingga 24 Ogos ini, bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November manakala peringkat Pusat yang menjadi tumpuan perebutan jawatan tertinggi parti dari 16 hingga 21 Disember.

Comments