KENYATAAN AKHBAR : KENAIKAN HARGA MINYAK DAN BARANGAN

Kenaikan minyak yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini akan meninggalkan kesan yang sangat besar terutama kepada golongan berpendapatan rendah. Seperti sebelum ini, kenaikan harga minyak ini sudah pasti akan menyebabkan kenaikan harga makanan, hinggalah kepada barang keperluan, termasuk perkhidmatan.

Bagi orang miskin, kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini memberi pukulan hebat terhadap kehidupan mereka. Sejak setahun lepas, mereka terpaksa bergelut untuk hidup akibat kenaikan kos makanan. Sebagai contoh harga beras baru sahaja naik beberapa minggu sebelum kenaikan harga minyak, kini semua orang dibebankan pula dengan kenaikan harga minyak. Tidak mustahil selepas ini harga beras juga akan naik sekali lagi.

Semua orang menerima satu lagi pukulan hebat apabila harga bahan bakar melonjak, sedangkan pendapatan mereka tidak bertambah. Saya berpendapat, pendapatan yang dikategorikan sebagai garis kemiskinan sekarang tidak sesuai dengan kos sara hidup yang meningkat hari demi hari.

Sepatutnya pendapatan garis kemiskinan adalah sekitar RM1,800 bukan lagi RM691 mengikut perkiraan tahun 2005 bagi sebuah keluarga yang mempunyai bilangan ahli keluarga seramai lima orang. Apa yang mereka boleh beli dan makan jika garis kemiskinan adalah RM691. Sudah pasti ianya tidak akan dapat menampung kos sara hidup yang tinggi sekarang.

Oleh itu sebenarnya bilangan orang miskin diseluruh negara sudah meningkat daripada apa yang ada sekarang akibat kenaikan harga minyak. Sebagai contoh sebelum ini kerajaan negeri Melaka mengumumkan bahawa bilangan keluarga miskin tegar di Melaka adalah berjumlah 785 buah keluarga iaitu iaitu membabitkan seramai 348 keluarga di Melaka Tengah, 234 keluarga di Alor Gajah dan 203 keluarga di Jasin.

Jumlah ini sebenarnya tidak menggambarkan fakta sebenar kerana kerajaan negeri menggunakan pendapatan RM385 sebulan sebagai paras minima kemiskinan. Adakah dengan wang RM385 sebulan ini dapat menampung kehidupan keluarga tersebut.? Sedangkan dalam keadaan sekarang ini (harga minyak dan barangan naik), pendapatan RM1,500 sebulan pun belum tentu mencukupi untuk keperluan sebuah keluarga.

Maka jelas sekali sebenarnya jumlah fakir miskin di Melaka dan Malaysia adalah lebih besar dari apa yang digambarkan oleh kerajaan. Selain dari masalah kemiskinan yang akan membelenggu rakyat, kita juga bimbang akan peningkatan masalah jenayah dan sosial disebabkan rakyat sudah tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi. Mungkin ada yang mengambil jalan keluar untuk mengisi perut dengan melakukan jenayah dan kerja-kerja maksiat.

Saya meramalkan kes-kes jenayah seperti mencuri, merompak, menyamun dan kegiatan tidak bermoral akan meningkat selepas ini disebabkan terdapatnya golongan yang terpaksa melakukan perkara demikian untuk mendapatkan sesuap nasi. Sekarang inipun kadar jenayah dan maksiat dinegara kita dan Melaka ini adalah tinggi. Untuk itu saya mencadangkan kerajaan supaya mengkaji dengan lebih teliti kesan kenaikan harga minyak ini.

Apa yang penting kerajaan mesti menurunkan harga minyak dengan segera agar kesan kenaikannya tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat. Pemberian rebet sebanyak RM625 setahun kepada pemilik kenderaan adalah tidak mencukupi kerana purata penggunaan minyak setahun adalah jauh lebih tinggi dari nilai itu. Katakan seseorang pemilik kenderaan menggunakan 100 liter petrol sebulan, ini bermakna mereka berbelanja sebanyak RM78 sebulan selepas kenaikan 0.78 sen (100 X 0.78 sen). Ini bermakna dalam setahun mereka berbelanja sebanyak RM936 (RM78 x 12).

Itu sekiranya mereka menggunakan minyak berjumlah 100 liter sebulan bagaimana kalau mereka menggunakan minyak lebih dari 100 liter.? Bagaimana pula dengan kesan kenaikan harga barang. Adakah RM625 setahun ini dapat menampung kenaikan harga barang?

Pemberian rebet ini juga tidak melibatkan golongan yang tiada kenderaan. Jadi golongan langsung tidak mendapat apa-apa insetif. Golongan inilah yang paling teruk terasa bahana kenaikan harga minyak. Jika sekiranya kerajaan berdegil tidak mahu menurunkan harga minyak, kerajaan mesti benar-benar berjimat cermat.

Bukannya setakat memotong elaun keraian Perdana Menteri, menteri dan Timbalan Menteri sebanyak 10 % sahaja bahkan sepatutnya kerajaan memotong semua elaun keraian dan lain-lain elaun hatta gaji mereka sendiri demi kesejahteraan rakyat. Selain itu semua elaun-elaun tidak munasabah untuk kakitangan awam yang berpangkat tinggi hendaklah dipotong. Projek-projek mega, program yang tidak berfaedah mesti dihentikan dengan serta merta.

Wang dari hasil penjimatan diatas mesti dipulangkan balik kepada rakyat dalam apa juga bentuk bagi meringankan beban rakyat. Mungkin bukan dalam bentuk wang tetapi dalam bentuk-bentuk lain yang boleh difikirkan oleh kerajaan.

Kita hairan bagaimana Pertronas yang memperolehi keuntungan berlipatganda hasil dari kenaikan harga minyak tidak dapat memulangkan sebahagian keuntungan kepada rakyat. Apa yang petronas dan kerajaan buat dengan duit yang berbilion-bilion ini?

Ini yang menghairankan rakyat. Malang sekali kerajaan dan Petronas begitu boros membelanjakan duit keuntungan ini. Contohnya Petronas membiayai Malaysian Philharmonic Orchestra iaitu orkestra yang diwujudkan oleh kerajaan sejak 10 tahun sebanyak RM3.5 juta sebulan.

Jelas sekali kerajaan menggunakan duit petronas untuk tujuan yang tidak sepatutnya. Rakyat dibiarkan menderita dengan kenaikan harga minyak.

Sofi Wahab
Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka

Comments

mek chabang4 said…
pengalaman mek yang dah berkahwin 18 tahun dan mempunyai anak bersekolah kesemuanya, rumah sewa,kereta ta pernah ada cuma ada motor kapcai buruk yang tapunyai cukai jalan (TABOLEH CLAIM REBATE RM150)pendapatan tapernah merasai rm800 keatas, sekarang suami tabekerja kerana sakit dan masih lagi boleh beri komen pada website blogger dan happy dengan keluarga kerana apa?
kerana tahu bershukur pada ALLAH dan BERKAT.