INSENTIF RM1 JUTA UNTUK PEMENANG PINGAT EMAS OLIMPIK, MEMBAZIR?

Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak semalam mengumumkan bahawa mana-mana ahli sukan negara yang menang pingat emas di sukan Olimpik akan mendapat ganjaran RM1 juta dari kerajaan.

Manakala pemenang pingat perak pula akan memperolehi habuan sebanyak RM300,000. Keputusan ini dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri petang semalam di bangunan Parlimen.

Najib juga megumumkan bahawa kadar pencen para pemenang pingat berkenaan akan dinaikkan dari RM3,000 sekarang kepada RM5,000.

Keputusan ini jelas membuktikan bahawa kerajaan BN sudah hilang arah sehingga tidak dapat membezakan yang mana penting dan yang mana tidak penting. Sepatutnya dalam keadaan rakyat berhadapan dengan situasi sukar akibat kenaikan harga minyak dan barangan sekarang ini, kerajaan mesti memikirkan secara serius ke mana duit rakyat hendak digunakan. Bukannya berbelanja secara tak tentu pasal untuk perkara-perkara yang tidak penting.

Malah dalam keadaan sekarang kerajaan sepatutnya merombak semula peruntukan bajet kepada mana-mana kementerian dan Jabatan yang difikirkan tidak perlu atau boleh dikemudiankan demi untuk memastikan duit rakyat ini benar-benar dapat membantu mereka dalam situasi sekarang.

Kita tidak menafikan bahawa pingat Sukan Olimpik mampu menaikkan nama negara di persada antarabangsa, tetapi apa maknanya pingat emas, perak atau gangsa sekiranya rakyat sendiri menderita. Bukankah wang jutaan ringgit itu boleh disalurkan untuk membantu rakyat dalam apa juga bentuk.

Insentif untuk para pemenang Sukan Olimpik boleh diberikan sebagai galakan tetapi tidaklah dalam amaun yang sebesar itu yang dikira dapat membantu puluhan malahan ribuan orang miskin. Mungkin juga insentif boleh diberi dalam bentuk yang lain.

Jelas sekali kerajaan BN yang sering mengaku tidak cukup peruntukan untuk menurunkan harga minyak sebenarnya membelanjakan wang rakyat untuk hal-hal yang tidak penting. Akhirnya kantong kering, rakyat yang menjadi mangsa.

Kerajaan BN yang zalim ini tidak pandai menguruskan wang rakyat malah tidak arif untuk menentukan yang mana projek atau program perlu disegerakan, yang mana urgent, yang mana perlu diberika 'priority'.

Akhirnya kerajaan berbelanja mengikut nafsu tanpa memikirkan buruk baiknya. Yang mana yang rakyat fikirkan baik untuk mereka difikirkan tidak baik oleh pemimpin BN yang memerintah sekarang.

Comments