HARAKAH MESTI BINGKAS PIMPIN MEDIA PAKATAN RAKYAT

Kerajaan telah meluluskan permohonan akhbar rasmi PAS, Harakah untuk diterbitkan dua kali seminggu, seperti sebelumnya.

Lembaga pengarah Harakah mengemukakan permohonan tersebut sejurus selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman mengesahkan pihaknya telah menerima surat kelulusan tersebut daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam. Dengan keputusan ini saya mengharapkan Harakah segera bingkas untuk memimpin media Pakatan Rakyat dalam era yang mencabar ini.

Saya tidak risau dari segi bahan-bahan yang akan dimuatkan dalam Harakah kerana sidang pengarang Harakah memang berkemampuan dan berpengalaman untuk menyediakan berita dan artikel bermutu. Tetapi apa yang dirisaukan ialah bagaimana untuk memastikan Harakah sampai ke setiap rumah rakyat Malaysia atau sekurang-kurangnya ke setiap kedai kopi di seluruh pelusuk kampung.

Dengan itu bahagian pemasaran Harakah mestilah memikirkan langkah-langkah drastik dan sistematik agar matlamat untuk menyebarluaskan pengedaran Harakah dapat dicapai.

Pengurusan Harakah mesti meletakkan target untuk dicapai dalam jangkamasa yang sesuai dan realistik. Kita tidak mahu pengedaran Harakah masih ditakuk lama. Ramai pembaca Harakah yang merungut kerana tidak tahu dimana untuk mendapatkan Harakah. Sebagai contoh di Melaka, tidak banyak kedai-kedai yang berani dan sanggup untuk menjual Harakah. Jadi strategi dan 'taktik' tertentu mesti diguna pakai bagi meyakinkan kedai-kedai ini agar mereka turut menjual Harakah.

Pengedar-pengedar mesti dilatih dan diajar tentang bagaimana untuk meningkatkan jualan dan pengedaran. Antara masalah yang dihadapi oleh pengedar ialah hutang yang tidak dibayar oleh pekedai dan juga hutang pengedar kepada Harakah. Dari maklumat yang saya perolehi ada pengedar yang berhutang ribuan malah puluhan ribu. Jadi oleh kerana hutang yang banyak maka pengedar tidak mahu lagi meletakkan Harakah di kedai-kedai tertentu yang akhirnya menyebabkan pembaca tidak dapat membeli Harakah.

Untuk itu, Harakah mesti memikirkan secara serius bagaimana untuk mengatasi masalah hutang ini yang akhirnya menyebabkan pengedaran Harakah ditempat-tempat terbantut.

Selain itu Harakah mesti memastikan ianya benar-benar menjadi akhbar parti-parti Pakatan Rakyat. Program, projek, aktiviti dan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat mesti dimuatkan seluas-luasnya bagi memberikan maklumat tentang kehebatan kerajaan Pakatan Rakyat.

Untuk itu sudah sampai masanya Harakah memikirkan secara serius untuk menambahkan halamannya bagi memuatkan berita-berita dan artikel-artikel dalam Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil. Kita khuatir masyarakat bukan Melayu tidak dapat maklumat yang betul tentang kerajaan Pakatan Rakyat andaikata kesemua berita dan artikel Harakah hanyalah dalam Bahasa Melayu.

Gambar ehsan Malaysiakini

Comments