.

.

29 January 2014

WAJIB BACA !!!!!! PENYELESAIAN 10 PERKARA ISU BIBLE BAHASA MELAYU

Ramai yang pernah membaca Penyelesaian 10 Perkara yang dipersetujui dan ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Pengerusi Kristian Persekutuan Malaysia Bishop Ng Moon Hing dalam versi Bahasa Inggeris, namun tidak pula menemui versi perjanjian itu dalam Bahasa Melayu.

Sebelum saya bercerita panjang, di sini saya nukilkan isi kandungan Penyelesaian 10 Perkara yang dibuat dalam satu surat bertarikh 11 April 2011 versi terjemahan Bahasa Melayu bagi rujukan pembaca semua.

1. Bible dalam semua bahasa boleh diimport ke dalam negara, termasuk Bahasa Malaysia/Indonesia.

2. Bible ini juga boleh dicetak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ini adalah perkembangan baru, yang patut disambut baik oleh kumpulan-kumpulan Kristian.

3. Bible di dalam bahasa asal Sabah dan Sarawak seperti Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang boleh juga dicetak tempatan dan diimport.

4. Di Sabah dan Sarawak, dengan pengiktirafan kepada komuniti Kristian yang besar di negeri-negeri ini, tiada sebarang syarat dikenakan kepada pengimportan dan cetakan tempatan Bible dalam semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia/Indonesia dan bahasa Asal. Tiada keperluan untuk sebarang cop mahupun nombor siri.

5. Mengambil kira kepentingan komuniti Muslim yang besar di Semenanjung, Bible di dalam Bahasa Malaysia/Indonesia, samada yang diimport atau dicetak tempatan, mesti tertera perkataan “Christian Publication” (Penerbitan Kristian) dan lambang salib dicetak di bahagian muka depan.

6. Sejajar dengan semangat 1Malaysia dan pengiktirafan bahawa ramai yang berulang-alik di antara Sabah dan Sarawak dan Semenanjung Malaysia, tiada sebarang kekangan untuk mereka bagi membawa Bible dan bahan-bahan Kristian ketika perjalanan.

7. Satu arahan telah dikeluarkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan keputusan kabinet dilaksanakan dengan baik. Kegagalan untuk mematuhi arahan akan menyebabkan pegawai dikenakan tindakan disiplin di bawah General Orders. Satu taklimat komprehensif oleh pegawai tertinggi, termasuk Peguam Negara, akan diberikan kepada semua kakitangan awam yang terlibat untuk memastikan pemahaman yang baik dan perlaksanaan yang elok terhadap arahan ini.

8. Untuk Bible yang ditahan di Kuching, penerbit Gideon boleh mengambil balik 30,000 Bible tanpa sebarang bayaran. Kami akan memastikan mereka yang terlibat akan dibayar pampasan. Tawaran itu juga diberikan kepada para pengimport 5,100 Bible di Pelabuhan Klang, yang telah dipungut oleh Bible Society Malaysia (BSM) minggu lepas.

9. Selain isu Bible, kerajaan ingin menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan kumpulan Kristian dan semua kumpulan agama yang lain untuk mengatasi masalah antara agama dan bekerja ke arah mencapai semua aspirasi keagamaan mengikut perlembagaan, dengan mengambil kira undang-undang lain yang berkaitan dengan negara ini. Untuk memastikan perkara ini dilakukan segera, sebagai Perdana Menteri, saya akan bertemu dengan wakil-wakil daripada Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) tidak lama lagi untuk membincangkan penyelesaian masa hadapan.

10. Menteri-Menteri Kristian di kabinet akan membuat perjumpaan berkala dengan wakil-wakil Kumpulan Kristian untuk membincangkan isu-isu mereka dan bekerjasama dengan kementerian berkenaan dan saya, untuk menyelesaikannya.

Tahukan kita semua bahawa dalam 'Penyelesaian 10 Perkara', isu Allah tidak disentuh. Yang disentuh hanyalah Bible, secara khususnya Bible Bahasa Malaysia/Indonesia, yang mesti mempunyai perkataan “Penerbitan Kristian” dan lambang “Salib” di muka depannya jika ia diimport dan cetakan tempatan untuk kegunaan di Semenanjung Malaysia.

Namun begitu, tidak pasti samada ia melanggar penyelesaian 10 perkara ini jika ada mereka yang memiliki buku Bible Bahasa Melayu/Indonesi tanpa perkataan “Penerbitan Kristian” dan lambang “Salib” di muka depan dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung kerana perkara 6 menjanjikan tiada sekatan untuk berbuat demikian.

Saya bukan seorang Kristian, oleh itu artikel ini, saya tidak akan menyentuh mengenai penggunaan nama khusus Allah. Namun bagi saya, jika terdengar nama Allah, saya akan teringat Islam, jika terdengar nama Jesus, saya akan teringat Kristian. Jarang terkeliru. 

Minggu lepas, Najib telah menegaskan penyelesaian 10 perkara tertakluk kepada undang-undang yang sedia ada. Ini bermaksud jika wujud mana-mana undang-undang negeri mahupun persekutuan yang menyebut larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan muslim, kabinet akan memihak kepada undang-undang.

Maka sekarang persoalannya ialah apakah kabinet telah melanggar undang-undang atau menggalakkan golongan tertentu untuk melanggar undang-undang yang sedia ada dengan membenarkan Bible yang menggunakan kalimah Allah untuk diimport dan dicetak secara tempatan?

Kabinet kata boleh cetak dan import Bible Bahasa Malaysia/Indonesia yang menggunakan terjemahan God/Lord kepada Allah (saya tak pasti yang mana satu), tapi tertakluk pada undang-undang yang sedia ada. 

Kalau dah tahu ada negeri yang mempunyai undang-undang yang sedia ada yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, mengapa kabinet masih benarkan?

Jika ada pihak yang didapati melanggar undang-undang yang sedia ada, mereka berkata kabinet yang memberikan lampu hijau. Kabinet pula kata, ya boleh tapi tertakluk pada undang-undang yang sedia ada – ia sama seperti “Pandai-pandailah kamu interprestasi apa yang ditulis.”

Bagi kumpulan yang selalu menembak kerajaan dan menyerunya menghormati perlembagaan dan undang-undang, inilah yang sedang dilakukan oleh kabinet dalam penyelesaian 10 perkara ini.

Bagi kumpulan yang mendesak kabinet menjunjung penyelesaian 10 perkara ini pula sebenarnya pula menyuruh kabinet melanggar perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada bagi negeri-negeri yang tidak membenarkannnya.

Bekas pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Dr Abdul Aziz Bari adalah betul dalam hal ini di mana beliau menegaskan penyelesaian 10 perkara bukanlah satu undang-undang.

Jika kerajaan betul-betul ikhlas dengan penyelesaian 10 perkara ini, Najib harus membawa penyelesaian 10 perkara ini untuk dibahaskan dan diluluskan di parlimen.

Betulkah penyelesaian 10 perkara ini satu perkara yang diterima oleh semua ahli di dalam kabinet? Melihat reaksi bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, yang duduk di dalam kabinet ketika penyelesaian 10 perkara ini diwujudkan, telah menimbulkan kesangsian kepada persoalan ini.

Mungkin sebelum ke parlimen, Najib juga perlu mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja dan mungkin satu referendum daripada rakyat Malaysia, samada penyelesaian 10 perkara ini boleh diterima.

Merdeka Centre dan UMCEDEL telah membuat kajian bahawa orang Islam Melayu di negara ini majoritinya (melebihi 70%) yang berpendapat kalimah Allah adalah esklusif untuk kegunaan orang Islam.

Mungkin mereka juga boleh membantu mendapatkan hasil kajian, berapa peratus orang Islam-Melayu yang tahu mengenai penyelesaian 10 perkara, dan berapa yang bersetuju dengan penyelesaian 10 perkara yang diutarakan Najib.

Sehingga itu berlaku, penyelesaian 10 perkara sebenarnya tidak wujud. Yang wujud ialah undang-undang yang sedia ada. 

Dan Najib tersepit dalam hal ini kerana beliau memerlukan sokongan masyarakat Melayu-Islam dari Semenanjung dan Kristian di Sabah-Sarawak untuk Umno-BN terus kekal hidup di PRU14.

Lebih memudaratkan, penyelesaian 10 perkara ini jika dipersetujui mahupun ditolak, mesti ada pihak yang dilihat ‘tewas’ dalam mempertahankan kesucian dan hak agama mereka.

Silap siapa akhirnya?

No comments:
Write comments
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter