Jelas sekali Presiden Umno, Najib Razak takut kepada bayang-bayang sendiri. Semalam beliau mengugut rakyat supaya jangan tukar kerajaan. Antara ugutan yang dibuat ialah jika kerajaan ditukar ianya akan menyebabkan matawang jatuh, inflasi meningkat, sektor pelancongan lumpuh dan keselamatan negara tidak terjamin.
Ternyata Najib sekali lagi memperbodohkan rakyat yang semakin cerdik sekarang. Bagaimana semua perkara itu boleh berlaku jika negara kita benar-benar dalam keadaan yang baik. Yang bertukar hanya pemimpin sedangkan pegawai kerajaannya sama, sistemnya pun sama dan rakyat pun rakyat yang sama.
Kita boleh melihat bagaimana negara-negara lain seperti Jepun, Korea dan Thailand sering bertukar kerajaan tetapi negara tersebut tetap maju. Bagaimana keselamatan boleh terjejas kerana kerajaan baru sudah tentu mahu keselamatan dalam keadaan yang baik. Malah Najib sendiri mendakwa bahawa pasukan keselamatan kita adalah antara yang terbaik. Nampaknya Najib cuba memperlekehkan kemampuan dan keupayaan pasukan keselamatan menjaga kestabilan negara. Tidak ada apa yang hendak dibimbangkan jika tidak ada pihak yang cuba membuat kacau. Apakah ada pihak-pihak yang merancang untuk melakukan kekacauan jika kerajaan bertukar tangan. Ini kerana ada pihak yang mendakwa bahawa akan tetap mempertahankan kerajaan yang ada dengan apa cara sekalipun.
Pakatan Rakyat juga telah membuktikan bahawa kerajaan PR jauh lebih baik dari BN di semua negeri-negeri yang diperintah oleh PR. Selangor dan Pulau Pinang sebagai contoh terbukti mempunyai kestabilan ekonomi, pengurusan kewangan dan program kebajikan yang terbaik dan diakui dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara. Malah hutang Selangor dan Pulau Pinang sudah hampir selesai dan rezab kewangan negeri meningkat. Selangor sebagai contoh mempunyai rezab negeri sebanyak RM2.5 bilion di saat Malaysia sendiri sudah berhutang sebanyak RM502 bilion.
Manakala kerajaan Kelantan dan Kedah berjaya mentadbir kedua-dua negeri tersebut dengan pentadbiran yang stabil, pengurusan kewangan yang baik dan program kebajikan yang diyakini rakyat. Hutang kedua-dua negeri itu dibayar mengikut jadual pada ketika negeri-negeri BN terus menimbunkan hutang mereka tanpa rasa segan dan silu. Contohnya Melaka di mana hutang negeri tersebut meningkat sehingga RM865juta.
Jika ditinjau dari indeks kemiskinan pula negeri-negeri BN terus menghuni tangga tertinggi sebagai negeri paling miskin di Malaysia. Sabah dan Terengganu gagal menyaingi Kelantan dan Kedah walaupun diwar-warkan kedua-negeri yang diterajui PAS itu miskin dan mundur.
Ternyata Najib cuba mengelirukan dan menipu rakyat dengan tuduhan dan fitnah yang jelas tidak disokong dengan fakta dan bukti-bukti kukuh. Rakyat Malaysia sudah tentu tidak akan menerima segala pembohongan ini bulat-bulat.
Mana mungkin rakyat boleh menerima pemimpin seperti ini yang hanya berani bermain dengan spekulasi dan pembohongan tetapi pengecut dan penakut untuk berdebat dan berdialog dengan lawan politiknya di hadapan rakyat.
Najib benar-benar tertekan dengan 4 tawaran utama PR iaitu menurunkan harga minyak, penghapusan tol, pendidikan percuma dan penurunan harga kereta. Sehingga sekarang BN tidak mampu untuk menyaingi tawaran PR yang diyakini dapat dilaksanakan dengan rezeki Allah kepada Malaysia.
Selama ini wang negara hangus begitu sahaja akibat pemimpin yang rasuah, menyalahgunakan kuasa dan tiris akibat pengurusan kewangan dan akhlaq pemimpin. Bayangkan RM28bilion duit negara tiris saban tahun, puluhan bilion lagi dibazirkan untuk membantu kroni-kroni dan peningkatan kos projek dan pengurusan.
Rakyat sudah bersedia untuk menukar kerajaan ...........Najib hanya bercakap untuk menyedapkan hati.
Comments