POLITIK BACUL : UMNO/BN UGUT TUAN TANAH TIDAK BENARKAN HIMPUNAN RAKYAT

Melaka: Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Melaka terpaksa dipindahkan ke lokasi baru iaitu di belakang Pejabat DAP Negeri Melaka kerana tuan tanah lokasi asal iaitu di Bukit Palah membatalkan persetujuan untuk menyewa kepada Pakatan Rakyat untuk program tersebut.

Setiausaha Program Himpunan Kebangkitan Rakyat Melaka, Asri Sheikh Abdul Aziz dalam kenyataannya sebentar tadi kesal dengan tindakan Umno/BN yang mengugut tuan tanah tersebut dengan pelbagai ugutan yang menyebabkan individu terbabit takut untuk menyewakan tanahnya kepada PR.

"Sebelum ini beliau telah mengeluarkan surat persetujuan untuk menyewakan tanah tersebut tetapi tengahari ini beliau menghubungi kita menarik balik persetujuan tersebut atas alasan ada pihak yang mengugut beliau".

"Kita berasa amat kesal dengan tindakan tersebut kerana ianya dibuat hanya 2 kira sebelum program dilaksanakan dan kita terpaksa melakukan persiapan dari awal di lokasi baru" ujar Asri yang juga merupakan Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Melaka

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Himpunan Kebangkitan Rakyat Melaka di Pejabat PKR Negeri Melaka, Taman Bukit Piatu Mutiara di sini tengahari tadi.

Asri menegaskan bahawa tindakan Umno/BN ini merupakan tindakan yang bacul dan tidak bertamadun kerana ianya jelas menyekat kebebasan dan hak asasi rakyat untuk mengadakan himpunan di mana sahaja tempat yang sesuai.

"Kita bayar sewa bukannya kita guna secara percuma, malah tuan tanah sudah pun bersetuju pada awalnya".

""Mereka bukan sahaja hendak mengacau program kita dengan mengadakan karnival ad hoc mereka malah mengugut tuan tanah dengan pelbagai ugutan yang menyebabkan tuan tanah menarik balik persetujuan asal" tambah Asri.

Menurutnya ini adalah rentetan tindakan tidak bertamadun Umno/BN negeri ini yang jelas begitu takut dengan kebangkitan rakyat.

"Mereka sebelum ini telah mengadakan pelbagai provokasi semasa program PR termasuk ceramah pimpinan tertinggi PR dan ini adalah kemuncak kepada tindakan tidak bertamadun mereka".

"Kita yakin rakyat Melaka akan membuat perubahan di atas tindakan biadap, samseng, ganas dan kebudak-budakan Umno/BN Melaka, rakyat akan bangkit menolak BN pada PRU 13 nanti" tambah Asri.

Asri memaklumkan bahawa lokasi baru Himpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Melaka ialah di Belakang Pejabat DAP Negeri Melaka, Loron Pandan. Beliau menjemput seluruh rakyat Melaka untuk turun beramai-ramai bagi membuktikan bahawa rakyat mahukan perubahan demi masa depan Melaka dan Malaysia.

Comments