APA YANG NASHARUDDIN HENDAK SEBENARNYA?

Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa tidak habis-habis menimbulkan masalah kepada Pakatan Rakyat. Terbaru beliau menuduh DAP menjalankan upacara mendoakan Malaysia menjadi Negara Kristian.

Persoalannya betulkah perkara itu berlaku.? Kalau betul berlaku ia wajar dibawa dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR bukannya dibentang pada umum seperti yang dilakukan oleh Nasharuddin. Persoalan kedua ialah bolehkah Malaysia menjadi Negara Kristian kerana ianya memerlukan pindaan perlembagaan yang sudah tentu 2/3 ahli parlimen menyokong pindaan tersebut.

Apa sebenarnya yang Nasharuddin mahu sehingga mengeluarkan kenyataan yang tidak ada bukti dan sudah tentu akan diekploitasi oleh musuh. Nasharuddin yang sebelum ini mengaku masih sayangkan PAS dan akan terus bersama PAS kelihatan cuba mencari pasal dengan menimbulkan isu-isu sensitif yang sudah tentu memberikan peluang kepada musuh mengeksploitasinya.

Nasharuddin sebagai seorang yang pernah menjadi pimpinan utama parti sepatutnya faham adab berjemaah dan berkawan. Beliau juga seorang murabbi mentarbiah ahli-ahli PAS tetapi sebaik sahaja tidak dipilih sebagai Timbalan Presiden beliau mula nampak 'gelong'. Apa sebenarnya yang Nasharuddin mahu? Apakah dia mahu PR berpecah, BN terus menang dengan membangkitkan isu-isu yang sepatutnya dirujuk kepada pimpinan PAS dan PR terlebih dahulu sebelum beliau mengeluarkan kenyataan. Walaupun ianya kenyataan peribadi tetapi oleh kerana beliau bekas pimpinan utama PAS dan masih berstatus ahli parlimen maka sudah tentu kenyataannya akan diceduk dan dimanipulasi pihak musuh untuk kepentingan diri mereka.

Kita hairan mengapa Nasharuddin tidak faham adab berjemaah dan berparti. Adakah dek kerana kecewa dan terkilan dengan seseorang dan ahli-ahli PAS, beliau sanggup membakar jambatan. Kenyataan beliau sudah banyak kali bertentangan dengan prinsip parti, hala tuju parti dan strategi parti. Namun pimpinan masih terus memberi peluang kepada beliau untuk kembali semula kepada hala tuju jemaah.

PAS sudah banyak kali berhadapan dengan bekas pimpinan yang buat onar. Bukan sahaja Timbalan Presiden, malah Presiden sekalipun menghadapi tindakan lantaran kerana tidak wala' kepada jemaah. PAS tegas dan tidak takut kepada kehilangan sokongan kerana membiarkan ahli yang berpenyakit sudah tentu akan menambahkan pekung di dada PAS.

Kita sebagai ahli dan penyokong PAS amat berharap Nasharuddin supaya kembali kepada Aqidah Perjuangan PAS. Ingatlah bagaimana beliau dididik oleh Allahyarham Ustaz Fadzil Noor sehingga diamanahkan dengan amanah besar sebagai Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung.

Jangan marahkan nyamuk kelambu di bakar. Masa masih ada dan belum terlambat.

Semalam Malaysiakini melaporkan bahawa bekas timbalan presiden PAS itu mendakwa, satu majlis kesyukuran yang diadakan di Sarawak tahun lalu menganjurkan doa supaya "Malaysia menjadi negara Kristian".

Beliau mendakwa, majlis itu berlangsung selepas pilihan raya negeri Sarawak.

"Saya nak menyebut, dan saya sebut ini untuk mengajak suara ummah menjadi satu, berdepan strategi yang dirancang oleh musuh Allah khasnya di Malaysia ini.

NONE"Selepas pilihan raya di Sarawak baru-baru ini, untuk meraikan kemenangan, parti DAP contohnya, di Sarawak, telah ada satu perhimpunan yang diadakan di satu tempat sebagai majlis kesyukuran.

"Dan dalam majlis kesyukuran itu antara perkara yang disebut dan didoakan adalah doa supaya Malaysia menjadi negara Kristian. Kerana kemenangan yang besar sudah ada doa supaya Malaysia jadi negara Kristian," katanya.

Nasharuddin juga berkata, beliau menimbulkan "isu semasa yang dihadapi ummah" itu dalam konteks dakwah dan realiti politik waktu ini.

Dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Putra itu, Nasharuddin turut menyelar pengerusi nasional DAP Karpal Singh yang bertegas untuk meneruskan prosiding saman ke atasnya.

"Saya nak kata yang (Karpal) anti-Islam dan bukan anti-hudud," katanya yang menambah, Karpal tidak berhak menentang perundangan yang ditetapkan Allah.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja di program Wacana Pemikiran Dan Peradaban Ummah ke-4: Seminar Dakwah Nasional anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia.

Comments