SPR PAMER DAFTAR PEMILIH 'KOTOR' TAMBAHAN BARU?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mula mempamerkan senarai Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2012 di 952 tempat di seluruh negara selama 14 hari.

Senarai ini mungkin juga penuh dengan kekotoran kerana SPR sendiri tidak pernah berusaha untuk membersihkan dirinya. Jika benar mereka mahu membersihkan dirinya sudah tentu tuntutan rakyat melalui Bersih 3.0 dilaksanakan sebagaimana yang dicadangkan oleh Ahli Jawatankuasa PSC dari Pakatan Rakyat. Namun semua cadangan itu ditolak mentah-mentah kecuali celup jari itupun belum tentu pelaksanaannya.

Daftar pemilih yang kotor ini sahajalah sebenarnya yang dapat menyelamatkan parti Kotor yang tidak suka Bersih 3.0. Antara kekotoran yang nyata masih dipertahankan oleh SPR kotor ialah senarai kira-kira 40,000 pemiilih yang tiada data dalam Jabatan Pendaftaran Negara masih dikekalkan dalam daftar pemilih; keujudan ribuan pemilih yang menggunakan alamat rumah yang sama sehingga ada 100 orang menggunakan alamat yang sama; pemilih yang mati masih dikekalkan; bilangan pengundi pos yang meningkat dengan mendadak sehingga anak, bini anggota keselamatan pun dimasukkan sebagai pengundi pos dan banyak lagi.

Media hari ini melaporkan bahawa SPR dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur memaklumkan senarai itu dipamerkan selaras dengan kehendak Peraturan 13(5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran
Pemilih) 2002.

Ia dipamerkan di Pejabat Pilihan Raya Negeri di 15 tempat, Pejabat Pos Berkomputer (451), Kompleks/Pejabat Kerajaan (86), Pejabat Daerah/Pejabat Tanah (124), Majlis Daerah/Perbandaran (48), Dewan Serbaguna/Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu/Dewan (194) dan lain-lain tempat (34). 

Semakan juga boleh dibuat melalui laman web SPR di www.spr.gov.my, menurut suruhanjaya itu. 

Menurut SPR sebanyak 289,255 permohonan pendaftaran pemilih baru dan 104,430 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar telah diterima bagi tiga bulan pertama tahun ini.

"Warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi pemilih atau mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi dinasihat supaya menyemak senarai tersebut," menurut SPR.

Suruhanjaya itu memaklumkan warganegara yang baru berdaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B.

Sementara bagi pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan terhadap kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang Daftar Pemilih itu boleh mengisi Borang C, tidak melebihi 20 orang, katanya.

Borang tersebut hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada hari bekerja dalam tempoh Rang Daftar Pemilih tersebut dipamerkan.

"Nasihat SPR bagi mereka yang ingin membuat bantahan, pastikan bantahan itu adalah berdasarkan kepada alasan yang kukuh dan tidak dibuat secara melulu," menurut kenyataan itu.

SPR memaklumkan bahawa suruhanjaya itu tidak mempamerkan senarai nama yang akan dipotong dari Daftar Pemilih yang telah hilang kelayakan seperti meninggal dunia, lucut hak warganegara dan sebagainya.

"Bagaimanapun, untuk memudahkan parti politik membuat semakan kepada senarai nama itu, SPR akan mengedarkan cakera padat (CD) yang mengandungi senarai nama yang akan dipotong kepada parti-parti politik," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau faksimili 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.


Sumber : Bernama

Comments