MANSUHKAN ISA : REGIM PENJARAKAN KAMI, RAKYAT MAHU KAMI BEBAS


Alhamdulillah, kes yang telah berlangsung selama lebih kurang dua tahun ini bermula 1 Ogos 2009 telah pun dengan begitu “cepatnya” berakhir semalam (untuk round pertama sebelum ke peringkat rayuan). Berbanding kes Protes yang saya juga terlibat sejak ditahan pada 26 Januari 2008 sehingga kini masih belum menemukan titik nokhtahnya.

Perjalanan kes ini memang penuh dengan mehnah dan tribulasi. Saya tidak menemukannya dalam kes Protes.Tidak bermakna kes Protes tiada cabaran. Tetapi Protes jauh lebih teratur barangkali. Sedang kes Mansuh ISA ini misalnya Kamar bicara mahkamah yang tidak pernah TETAP sehinggalah lebih kurang 2 kali perbicaraan terakhir yang berlangsung di Mahkamah Sesyen Sivil tempat di mana Keputusan dijatuhkan. Kamar Pendakwaan yang lain. Kamar Bicara pula lain. Hatta Kamar Keputusan dan Hukuman juga lain. Hatta kami pernah “round” seluruh bangunan untuk “mencari” di mana kamar bicara untuk kami dibicarakan. Sehingga ramai yang membuat kesimpulan, “don’t worry, actually tak ada kes, that’s why kamar bicara pun tak consistant”!  Akhirnya telaan dan kesimpulan ini tidak tepat.

Majoriti kami para OKT ketika itu jelas dan faham bahawa Pendakwaan kami itu adalah sangat bersifat politik dan mala fide’. ( Saya tidak langsung berniat “contempt of court” dalam hal ini. ) Walau ada juga yang mengatakan “kita tak nampak ini merupakan Pendakwaan Politik, kerana yang terlibat bukannya pimpinan tertinggi dan kalau pun ada hanyalah mungkin Aiman Athirah selaku Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat”. Nah, sekali lagi saya sejak awal menolak sikap dan tanggapan ini. Bahkan keputusan kelmarin jelas membuktikan bersangatan kuatnya unsur “politik” dalam pendakwaan ke atas kami.

Tidak mengapa, kita tinggalkan semua pengalaman itu. Yang baik kita jadikan teladan. Yang kurang molek kita jadikan panduan dan sempadan. Kewjipan kita semua juga adalah untuk berubah, usaha mencapai tahap Itqan dalam semua urusan.

Lebih kurang seminggu menjelang keputusan bagi perbicaraan kami, saya semacam sudah kuat merasakan sesuatu yang sangat “sedih” bakal berlaku ke atas kami. Lantas dalam seminggu itu saya tegaskan ini melalui Facebook saya, “DEMI  TUHAN YANG JIWA KU BERADA DI DALAM GENGGAMAN NYA : Andai Pengkhianatan Regim Mahu Berterusan Mematahkan Semangat Kami, Dan Mahu Menundukkan Aku Atas Kesalahan Yang Aku Tidak Lakukan...MAKA INI JAWAPAN KU... InsyaAllah Aku Tidak Akan Merayu. Aku Tidak Akan Bayar Satu Sen Pun Denda. KECUALI Parti Yang Aku Dokongi Ini Dan Sahabat-Sahabat Seperjuanganku Berkehendakkan Yang Lain Dan Merekalah Yang Mengusahakannya...Bukan Aku....InsyaAllah...”.

Alhamdulillah. Pendirian saya ini disambut baik oleh sahabat saya yang juga OKT Mansuh iaitu  Nashita Mohd. Noor dan juga Norlaila Othman. Mereka juga bersama saya. Lantas kami gerakkan apa yang kami sebut sebagai “CALLING FOR SOLIDARITY” bagi memaklumkan semua teman-teman bahawa ada sesuatu yang sangat penting akan berlaku pada 22 Februari 2012 (222) yang berhubung dengan Akta Dzalim Drakonian ISA, meskipun PM Najib telah gegak gempita melaungkan Pemansuhan ISA pada 15 September 2011 yang lepas. Pada tarikh 222 kita akan Berjaya membuktikan betapa pembohong besarnya Pentadbiran Regim ini di bawah DS Najib TAR!

Dalam tempoh tersebut juga banyak hal yang kami usaha bereskan sebagai persiapan apa pun yang akan terpaksa kami hadapi menjelang 222. Ada yang darihal urusan keluarga, urusan peribadi sehinggalah ke urusan parti dan gerakan. Seolahnya kami ketika itu sedang berlumba dengan masa agar “sepeninggalan kami” ia tidak pula bakal membebankan kepada pihak yang akan kami tinggalkan.

Saya sendiri usaha memastikan Montaj Negara Berkebajikan : Tawaran PAS siap disediakan, diupload dan mula disebarkan dalam internet agar boleh sedikit sebanyak membantu usaha Kempen PRU13 kita semua. Alhamdulillah siap berkat komitmen “Back Up Team” saya dan keizinan Allah jua. Termasuk juga beberapa bahan lain untuk urusan Penerangan memandangkan tanggungjawab saya sebagai Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia.

Pada malam menjelang Hari Keputusan 222 itu, Dewan Muslimat PAS Pusat menganjurkan program Solat Hajat dan Sudut Bicara untuk kami menyatakan sepatah dua kata. Ketiga-tiga OKT Perempuan iaitu saya, Nashita dan Norlaila malam itu cukup nekad dan siap untuk hadapi apa sahaja.

Sebelum keluar rumah menuju ke mahkamah, beberapa barang keperluan peribadi kami siapkan. Di mahkamah, saudara Tian Chua sempat berseloroh “dah siap bawa berus gigi?”.. Saya senyum.

Kesedihan kami hakikatnya hilang bila begitu ramai kawan-kawan mewakili pelbagai pihak, kaum dan agama hadir menunjukkan solidarity. Kesatuan rakyat. Semangat Persaudaraan yang ketara. Dari Utara sampai ke Selatan. Timur sampai ke Barat. Ada wakil. Alhamdulillah kami semakin kuat menghadapinya. Ramai juga yang mengatakan “InsyaAllah Bebas”… hanya mampu kami balas dengan senyuman tanda cukup mengerti.

Pada saat keputusan dibacakan…saya dan 3 OKT perempuan lain tunduk menarik nafas tenang, saling bergengaman tangan….dan bila KEPUTUSAN DIDAPATI BERSALAH dinyatakan oleh Puan Hakim, Ainul Shahrin Mohamad, genggaman tangan kami semakin erat..dan T E N A N G…..alhamdulillah. “Kemuliaan Jihad insyaAllah”..bisik saya perlahan sambil tersenyum memandang Kak Nash di sebelah kanan saya. Kami hanya berbalas senyum, iyya ada kepasrahan.

Saya terus catatkan ini dalam sms saya kepada beberapa sahabat, “Masakan Allah Mentakdirkan Segalanya Untuk Suatu Yang Sia-Sia. Hidup Kebangkitan Rakyat. TOLAK REGIM!” . Peguam segera bangun meminta “standown” (rehat sekejap) daripada hakim sebelum dibacakan bentuk hukuman.

Saya berpaling ke belakang….ramai kini berwajah muram, terkejut, geram dan macam-macam. Ramai juga termasuk rakan-rakan media yang tidak dapat menahan airmata masing-masing. Saya usaha menenangkan adik-adik seperjuangan saya yang kelihatan sangat sedih. YB Dr Siti Mariah Mahmud juga tidak upaya sembunyikan airmatanya. Sahabat saya Wan Joe tersenyum dan saya “thumb up ke arahnya”, dia membalas yang sama. Sahabat saya Kak Nuridah dan Kak Salbiah juga saya lihat berwajah terkilan.

Sempat berbual dengan beberapa orang termasuk Tuan Haji Mazlan dan Khairul Faizi masing-masing AJK PAS Pusat dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia. Mereka bertanya apa pendirian OKT Perempuan. Saya katakan, apa jua kami hadapi tapi kami tidak akan bayar satu sen pun denda dan rela berada di Penjara sebagai menggantikannya kecuali kalau mereka fikir ianya suatu yang tidak perlu maka kami pulangkan kepada semua. Saya hatta menunjukkan YB Dr Siti Mariah lah yang wajar dirundingi bagi pihak Muslimat PAS Pusat sebab saya di situ ketika itu hanyalah seorang OKH ( Orang Kena Hukum ).

Alhamdulillah, saudara saya Khairul Faizi nampaknya sangat memahami. Saya ucapkan terima kasih kepada Pemuda seluruhnya.

Saya juga difahamkan Ketua Muslimat PAS Pusat, YB Siti Zailah sedang dalam perjalanan ke mahkamah dari airport. Programnya yang sangat padat hanya mengizinkannnya untuk menaiki penerbangan dari Kota Bharu pada jam 9.50 pagi. Beliau sempat menghubungi saya sebelum berangkat. Saya katakan, kami semua memang sangat perlukan dan harapkan kehadiran beliau.  Dan beliaulah juga antara yang menyambut kami sejurus selepas keluar meninggalkan lokap dan muncul di ruangan café mahkamah.

Akhirnya hakim muncul semula, dan hukuman dibacakan. Pendek cerita Penjara Sehari DAN Denda RM2 Ribu Setiap Seorang. Hakim juga tidak membenarkan rayuan kecuali untuk Penjara Sehari itu. Pasukan Peguam kami minta untuk masuk ke peringkat rayuan. Maka kami serahkan kepada kebijaksanaan mereka bagi pihak kami.

Seterusnya semua OKH kini mula dipisahkan daripada keluarga dan rakan-rakan lain yang bebas. Kami “ditarik” masuk ke ruangan dalam di belakang ruang bicara untuk kemudiannya dihantar ke lokap dan diberikan tempoh masa sehingga hanya pada 3.30 petang bagi memastikan wang denda dibayar dan ANDAINYA GAGAL maka kami akan terus dihantar ke Penjara bagi tempoh SEMINGGU!

Rakan-rakan yang tak biasa terpinga-pinga apa yang berlaku. Kenapa kami tiba-tiba “diambil Polis”. Yang faham segera meninggalkan kamar bicara dan saya seolah faham mereka sedang bergegas untuk apa. YB Dr Siti Mariah Mahmud, Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia dengan wajah sebaknya, merah matanya memberi “signal” kepada saya dan saya perhatikan gerak bibirnya yang saya teka sebagai berkata “okay, don’t worry”…. Saya waktu itu serahkan segalanya kepada Allah….bukan mudah untuk mengumpulkan duit RM22K sesegera itu (dalam tempoh 2 jam setengah)… apatah lagi ramai tidak menjangka kami akan dijatuhkan hukuman…

Di bilik pengasingan suasana kelihatan para OKH cukup bersemangat. Kali pertama saya melihat wajah-wajah mereka sesemangat itu. Hampir Semua OKH (Orang Kena Hukum) Bagi Kes Mansuh ISA Kelmarin Menyatakan Kesediaan Mereka Untuk Ke Penjara Selama Seminggu Dan Tidak Mahu Membayar Denda RM2k Setiap Seorang. Pada Wajah Mereka Jelas Tergambar Kemarahan Dan Kebencian Terhadap Regim. Saya Katakan Kepada Mereka “InsyaAllah Kita Semua Bersedia Lakukannya Tanpa Paksaan. Terpulang Kepada Rakan-Rakan Kita Di Luar. Kalau Mereka Berjaya Himpunkan Sejumlah RM22K (Total sebenar ialah RM32K tetapi ada OKT yang tidak dapat hadir) sebelum Jam 3.30 Petang Maknanya Mereka Yakni Rakyat BERJAYA MEMBEBASKAN KITA. Kalau Tidak Maknanya Mereka Mahu Kita Teruskan Perjuangan Walau Di Sebalik Jeriji Besi Pengkhianatan Dan Kedzaliman Regim.

Sebelum saya kehilangan signal telefon kerana dihantar masuk ke lokap bawah tanah, saya sempat menerima panggilan daripada rakan aktivis saya Mandy Ooi dari DAP. Beliau bertanya tentang duit denda saya adakah siapa yang dah urus atau jika belum mereka akan uruskan. Saya meminta Mandy berhubung dengan YB Dr Siti Mariah. Selepas itu talian terputus.

Tiba-tiba masuk pula mesej daripada rakan media saya iaitu Lim Hong Siang dengan mesejnya berbunyi “Kalian Tidak Berseorangan”… Sungguh mesej yang ringkas itu cukup menyemarakkan semangat perjuangan kami semua yang sedang dizalimi dan dipisahkan daripada semua. “Jahanam Regim” getus saya. Saya percaya untuk kesekian kali pentadbiran Regim sedang melengkapkan “Jerat Kehancuran” mereka sendiri. InsyaAllah.

Bagi pihak semua rakan-rakan OKH, saya ucapkan terima kasih kepada semua khususnya Rakan Facebook Mandy Ooi yang telah melancarkan Kutipan Kilat bagi membantu membebaskan kami, semua rakan pimpinan, rakan aktivis dan rakan rakyat kami yang prihatin.

HAKIKATNYA....Rakyat mahu kami terus berada di luar bagi membantu usaha memastikan TUMBANGNYA REGIM YANG DZALIM INI. Hidup Kebangkitan Rakyat. TOLAK REGIM!

Aiman Athirah 
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat

Comments