.

.

01 February 2012

SIAPA RASIS : UMNO ATAU DAP?

DAP parti perkauman Cina, DAP chauvinis Cina, DAP Komunis, DAP anti Islam, DAP anti Melayu, DAP bla bla bla ................itu tuduhan yang dilemparkan kepada DAP yang menggila sejak kebelakangan ini.

Semakin menggila tuduhan tersebut, semakin galak pemimpin Umno memfitnah DAP, tiba-tiba politik Malaysia dikejutkan dengan kemasukan bekas orang di bawah dagu Haji Najib iaitu Dato' Mohd.Ariff Sabri bin Hj. Abdul Aziz, bekas Adun Pulau Manis dan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan menyertai DAP. Tidak lama selepas itu bekas Presiden NUJ, Hatta Wahari pula menyertai DAP.

Maka jelaslah bahawa orang Melayu termasuk anak didik Najib sendiri tidak percaya dengan fitnah dan momokan menggila Umno terhadap DAP. Maksud politik perkauman sudah ditolak rakyat tanpa mengira kaum. 

Buktinya orang Cina berani mengundi PAS dan orang Melayu sedia mengundi DAP pada PRU 2008 sehingga Umno/BN menggigit jari di Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang serta Kelantan. 

Ikuti tulisan Hatta Wahari di bawah yang disiarkan oleh Roketkini bagi menghuraikan modal politik perkauman Umno yang sudah basi dan tidak laku.

Orang Melayu jangan  terperangkap dengan pemikiran sempit Timbalan Perdana Menteri dan Utusan Melayu.

Saya terpanggil untuk membuat kenyataan ini berikutan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa orang Melayu tidak harus terperangkap dengan perangkap DAP, sebaliknya perkara yang paling relevan sekarang ialah orang Melayu jangan terperangkap dengan kata-kata Timbalan Perdan Menteri, Tan Sri Muhyiddin  Yassin.

Pertamanya, saya ingin menegaskan orang Melayu kini semakin terbuka untuk menilai sebuah parti berbilang kaum DAP sebagai sebuah parti yang telus dan ikhlas untuk berjuang untuk kepentingan semua kaum di negara Malaysia yang tercinta.

Keduanya, orang  Melayu kini boleh duduk berbincang dengan orang Melayu yang menyertai DAP walau pun mereka dari Umno dan menerima penjelasan dengan baik serta tidak lagi bersikap ingin memusuhi ataupun menghamburkan kata-kata penghinaan.

Ketiganya, orang Melayu kini telah mula menyedari bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan lagi parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu sebaliknya sebuah parti yang mementingkan kroni serta suku sakat mereka sahaja.

Keempat, orang Melayu kini telah bersedia untuk menongkah arus memastikan kesenimbungan perjuangan pemimpin-pemimpin lampau yang mahukan Malaysia menjadi sebuah negara aman, makmur dan bersatu sesuatu yang telah gagal di laksanakan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Pengalaman saya menyertai DAP sejak 21 Januari lepas, saya dapat menjalani kehidupan seperti biasa, ke masjid solat berjemaah, menghadiri kenduri kahwin jiran, dan alhamdulilah berterusan memberi sedekah  pada malam Jumaat selepas bacaan Yassin dengan menyediakan juadah untuk jemaah.

Semuanya ini dilakukan tanpa halangan, alhamdulilah orang Melayu tidak lagi berfikiran sempit malahan telah dapat menerima realiti dengan memastikan tidak berlaku perpecahan kerana perbezaan parti politik.

Saya juga tidak terkejut dengan tindakan berterusan Mingguan Malaysia akhbar mingguan yang diterbitkan oleh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebuah syarikat milik Umno yang menyatakan bahawa DAP adalah parti paling rasis bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

Ruangan pojok yang ditulis oleh Awang Selamat, walau pun saya mengenali dan tahu siapakah Awang Selamat kerana pernah bertugas di Utusan  Melayu selama 16 tahun, saya tidak akan mendedahkan siapakah dia Awang Selamat.

Cuma yang hendak saya katakan ialah penulis pojok Awang Selamat itu merupakan orang yang paling rasis bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

Tulisan beliau secara jelas memperlihatkan bahawa sifat rasis beliau dan tidak dapat menerima perubahan realiti orang Melayu sekarang yang telah berlapang dada untuk menilai secara kritis dan bukan secara membabi buta mencerna setiap perkataan untuk menaikan sifat rasis terhadap DAP.

Sebagai orang Melayu yang telah memasuki DAP atas kerelaan sendiri, tidak ada rombongan pengantin ataupun rombongan masuk meminang daripada pemimpin-pemimpin DAP agar saya memasuki parti tersebut sebaliknya saya yang menghantar rombongan meminang untuk memasuki DAP memandangkan terlalu ramai orang Melayu yang ingin memasuki parti tersebut.

Saya bernasib baik kerana Setiausaha Agung DAP, YB Lim Guan Eng sendiri yang menerima borang permohonan saya untuk memasuki parti tersebut.

Tidak ada orang Melayu yang diperkudakan di dalam DAP kerana kami semua menyedari bahawa perjuangan untuk membebaskan orang Melayu dari belenggu rasis Umno dan Utusan Melayu perlu disegerakan.

Kami orang Melayu di dalam DAP memasuki parti ini untuk membuat pendirian bahawa tidak ada tempat di Malaysia ini untuk sikap rasis yang ditunjukkan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Utusan Melayu terutama penulis pojok Awang Selamat. 

No comments:
Write comments
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter