Riuh rendah seantero negara bahawa ramai orang miskin mendapat bantuan dari gereja lantaran kesusahan mereka untuk mendapat bantuan wang zakat. Ada antara mereka menyatakan bahawa memohon wang zakat macam meminta sedekah.
Malaysiakini melaporkan bahawa seorang individu yang ditahan dalam pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) mengaku terdapat umat Islam murtad selepas mendapat bantuan gereja, kata bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Dr Asri berkata, dalam pengakuan kepadanya minggu lalu, ibu tunggal itu mengaku masih Islam walaupun tiga anaknya diterapkan ajaran Kristian dan diajar nyanyian keagamaan.
"Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup.
"Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja," kata Dr Asri (kanan).
Dalam kenyataannya hari ini, Dr Asri berkata, gereja tidak memaksa supaya murtad tetapi pendekatannya "amat mempengaruhi".
Dr Asri bagaimanapun tidak mendedahkan nama gereja terbabit dan sama ada sebelas lagi yang ditahan dalam majlis di DUMC tergolong daripada pihak yang dikatakan murtad itu.
Menurut Asri, wanita itu memberitahunya, kesempitan hidup dan kesukaran mendapat bantuan zakat memulakan hubungannya dengan gereja, yang membantu dengan 'mesra dan sayang'.
"Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya," katanya.
Justeru, Dr Asri menggesa sistem pembayaran zakat dipermudah dan kaedah yang menyukarkan dan "bagaikan peminta sedekah" hendaklah dihentikan.
"Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam.
"Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!" kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Jelas sekali kemiskinan menghampiri kekufuran. Apabila miskin makanan pun tiada, kehidupan sengsara maka mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk hidup tanpa menghiraukan amal perbuatan itu halal atau haram. Hatta mereka sanggup menggadaikan agama sekalipun.
Di Melaka, SPRM menyatakan bahawa wang lebihan zakat digunakan untuk membina bangunan Majli s Agama Islam Melaka (MAIM). SPRM menyataan demikian selepas ditanya oleh Pesuruhjaya PAS Melaka berpandukan kepada Laporan Ketua Audit Negara.
Apakah benar duit zakat ini ada lebihan sedangkan ramai lagi umat Islam yang miskin dan dhaif.
Comments