PR mesti berani lakukan anjakan paradigma

Politik baru yang didakwa diasaskan oleh Pakatan Rakyat PR melampaui sempadan perkauman, agama dan warna kulit. Ketiga-tiga parti utama PR iaitu PAS, PKR dan DAP sejak dari awal penubuhannya membuka keahliannya kepada apa juga bangsa di negara ini berbanding dengan Umno, MCA maupun MIC yang menghadkn keahlian kepada kaum mereka sahaja. Stail politik lama mereka sudah lapuk dan tidak mendapat sokongan rakyat.

Cuma sekarang ini rakyat mahu melihat perpaduan dalam PR benar-benar utuh atau tidak. Rakyat mahu melihat PR membuat lonjakan paradigma dalam berpolitik dengan tindaka-tindakan drastik yang tidak terfikir oleh kita suatu ketika dahulu tetapi jika diamalkan ianya akan menambahkan lagi sokongan dan dokongan rakyat kepada PR.

Satu saranan untuk kepimpinan PR. Buktikan bahawa PR bukan parti perkauman dengan meletakkan calon-calon Melayu dari PAS atau PKR bertanding di DUN atau Parlimen yang majoriti Cina yang berpotensi menang seperti Parlimen Bukit Bintang, Kota Melaka, Seputih, Bagan dan sebagainya, Begitu juga PAS dan PKR disarankan  menyerahkan kerusi yang majoriti Melayu yang berpotensi menang  kepada calon-calon Cina dari DAP seperti kerusi parlimen Bachok, Kubang Kerian, Pengkalan Chepa, Marang dan sebagainya.

Jika ini dapat dilakukan sudah tentu PR memberi peluang kepada perubahan minda politik rakyat secara total dengan mengenepikan terus sentimen perkauman sebaliknya memilih calon yang mendokongi parti yang berpolitik secara matang, telus dan professional.

Bayangkan jika pengundi Cina di Kota Melaka mengundi calon PAS yang bertanding di kawasan itu dengan mengenepikan calon MCA atau Gerakan dari bangsa Cina sendiri. Sudah tentu ini memberikan impak baru kepada landskap politik negara kita. Begitu juga jika pengundi Melayu di Pengkalan Chepa mengundi calon DAP dengan mengenepikan calon Umno yang jelas mewakili parti korup dan kotor.

Selain itu cadangan ini sudah tentu memberi peluang kepada parti-parti komponen PR untuk bertapak di sesebuah negeri yang sukar untuk dimenangi oleh parti-parti tertentu walaupun dengan satu kerusi. Misalnya jika PAS bertanding di kubu kuat DAP di Melaka Insya Allah PAS boleh menang dan PAS boleh mengatur tapak di Melaka. Begitu sebaliknya jika DAP bertanding di kubu kuat PAS di Kelantan dan Terengganu Insya Allah DAP menang dan parti itu boleh bertapak di negeri Pantai Timur tersebut.

Saranan ini jika menjadi kenyataan diyakini mampu mengubah landskap politik negara kita sekaligus menguburkan sistem politik lama Umno/BN yang bermazhabkan politik perkauman sempit.

Saya mencadangkan supaya perkara ini difikirkan secara serius oleh pimpinan tertinggi PR.

Sofi Wahab
Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Melaka
Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil

Comments