Adun DAP agihkan bubur lambok bersama Cawangan Sungai Putat dan MTD Bukit Baru


Ahli Dewan Undangan Ayer Keroh, YB Khoo Poay Tiong bersama-sama bergotong royong dengan ahli-ahli PAS Cawangan Sungai Putat memasak bubur lambok dan mengagihkannya kepada penduduk setempat.


Program yang berlangsung Ahad lepas mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan di kalangan penduduk setempat.

Program memasak bubur lambok dan mengagihkannya kepada penduduk setempat merupakan program tahunan PAS Cawangan Sungai Putat. Adun Ayer Keroh itu juga turut memberikan sumbangan peribadi beliau bagi menjayakan program tersebut.

Khoo melahirkan rasa gembira dengan sambutan rakyat terhadap program seumpama ini dan mengharapkan ianya dapat diteruskan pada masa hadapan.


"Saya sangat gembira kerana dengan bantuan PAS, saya dapat turut sama berkongsi pengalaman di bulan puasa yang suci ini." 

"Harapan saya agar perjuangan PR akan berjaya dengan semangat setia kawan yang ditunjukkan oleh semua lapisan masyarakat " tambah Khoo.

Sebaik sahaja bubur lambok itu masak, petugas-petugas DAP, PAS Cawangan Sungai Putat dan Majlis Tindakan Dun Bukit Baru bersama-sama mengagihkan bubur tersebut kepada penduduk di sekitar Kg Sungai Putat, Kg Tun Razak dan Taman Saujana.

Sementara itu Penyelia Dun Bukit Baru, Yusof Wahab berkata penduduk setempat ternyata senang hati dan gembira dengan kesediaan Adun DAP untuk turut sama dalam program pengagihan bubur lambok ini.

"Selama ini orang Melayu melihat DAP tidak suka kepada Islam tetapi perkara itu semakin hilang dan apa yang dilihat pada program tersebut amat baik, penduduk gembira dan mengucapkan terima kasih kepada YB Khoo"

"Orang Melayu sudah tidak takut kepada DAP dan orang Cina juga tidak takut kepada PAS, ini suatu perkembangan yang baik kepada masa depan politik Pakatan Rakyat di negeri Melaka" kata Yusof.


Comments