PRK MERLIMAU : MEDAN UNTUK PROTES KENAIKAN HARGA BARANG

Merlimau 9 Feb : Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Hajah Kintan Man menyeru seluruh pengundi Dun Merlimau supaya menjadikan pilihanraya kecil Dun tersebut sebagai medan untuk melakukan protes terhadap kenaikan harga minyak dan barangan yang semakin menghimpit rakyat sekarang.

Kintan berkata bahawa kerunsingan terhadap kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian sememangnya bersarang di hati rakyat namun rakyat khususnya orang Melayu tiada kekuatan untuk mengalihkan undi mereka kepada Pakatan Rakyat.

"Minda orang Melayu telah didoktrinkan oleh Umno/BN bahawa kenaikan harga barang ini tidak dapat dibendung dan ianya merupakan perkara biasa yang tidak dapat dielakkan".

"PAS dan PR mesti berusaha gigih untuk memberikan penerangan kepada rakyat bahawa kerajaan BN hari ini gagal menguruskan kenaikan harga barang ini dengan baik sehingga rakyat semakin terhimpit dan sengsara" tegas Kintan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat.

Menurutnya, rakyat khususnya pengundi Dun Merlimau mesti diberi kefahaman bahawa antara sebab berlakunya kenaikan harga barang ialah kerana meningkat kos pengeluaran dan pengangkutan disebabkan kenaikan harga minyak yang sebenarnya boleh dielak oleh kerajaan.

"Malangnya kerajaan BN sendiri yang menaikkan harga minyak dengan menghentikan subsidi walaupun pada masa yang sama keuntungan Petronas dan kerajaan meningkat disebabkan kenaikan harga minyak dunia".

"Selain itu kerajaan juga gagal mengawal dan menangani masalah kenaikan harga barang yang dilakukan oleh pengeluar dan pemborong barangan keperluan sehingga semua tuntutan untuk menaikkan harga dipersetujui oleh kerajaan tanpa sebarang tindakan yang konkrit untuk menanganinya" tambah Kintan ketika ditemui oleh bilik operasi pilihanraya kecil Dun Merlimau di sini pagi ini.

Kintan mengajak seluruh pengundi Merlimau supaya bangkit memprotes kegagalan kerajaan menangani isu ini dengan memberikan undi kepada calon PAS pada pilihanraya kecil Dun Merlimau yang akan berlangsung pada 6 Mac ini.

Comments

Anonymous said…
try tgk kat bil air SAMB bulan januari 2011. di tulis situ Tarif air akan di naikkan mulai Feb 2011.