PRK HULU SELANGOR : SIAPA KUAT UMNO ATAU MIC?

Nampaknya pertarungan sebenar Pilihanraya Kecil ini bukannya antara PKR dan BN tetapi antara Umno dan MIC.

Sejak kerusi ini kosong Umno dan MIC berebut untuk meletakkan calon masing-masing. Pada awalnya Umno mahu meletakkan bekas Naib Presiden Umno, Mat 'Tyson' Taib tetapi ditolak mentah-mentah oleh MIC yang siang-siang lagi menegaskan kerusi itu milik tradisi MIC. Presiden MIC, Samy Vellu sejak dari mula lagi menamakan Timbalannya, G Palanivel sebagai calon yang dicadangkan oleh MIC.

Selepas Umno mengalah dan memberikan laluan kepada MIC timbul pula satu cadangan baru dari Umno. Mereka mencadangkan anak tempatan, Mugilan yang juga Timbalan Ketua Pemuda MIC Pusat untuk menjadi calon. Namun ianya ditolak dengan tegas oleh Samy Vellu.

Malah maklumat dari sumber dalaman parti yang menyatakan bahawa jika Mugilan dipilih oleh Pengerusi BN sebagai calon, kepemimpinan MIC akan memecat Mugilan kerana melobi bagi kerusi itu dan juga mensabotaj aktiviti parti serta mencemarkan nama Palanivel.

Menurut beliau lagi, ketika mesyuarat baru-baru ini di Parlimen, presiden MIC,Samy Vellu dilaporkan bertikam lidah dengan Muhyiddin berhubung pemilihan calon BN itu.

Sumber itu berkata Muhyiddin berkata Mugilan adalah pilihan pemimpin BN tetapi pemimpin MIC yang hadir kurang menyenangi keputusan itu.

Terbukti kem BN benar-benar dalam dilema sekarang. Bagi Umno jika Mugilan dipilih maka peluang untuk BN menang adalah cerah, namun andaikata Palanivel yang dijadikan ayam sabung Umno berpendapat kemenangan BN mungkin hanya sekadar dalam mimpi sahaja.

Jelaslah sekarang ini bahawa pertarungan sebenar di Hulu Selangor telah bermula iaitu pertentangan antara Umno dan MIC. Nampaknya gayanya mereka sekarang berada dalam keadaan ditelan mati mak diluah mati bapak.

Apakah Umno akan membuli MIC, atau MIC akan memperkudakan Umno. Kita tunggu dan lihat. Andai Palanivel dipilih maka terbukti Umno diperkuda oleh MIC, manakala jika Mugilan dipilih, lambat laun MIC akan ditendang oleh Umno dari BN dan digantikan dengan MAKKAL SAKHTI.

Comments