POKOK DEMOKRASI BERANAK

Pokok demokrasi lambang istiqamah PR untuk menegakkan demokrasi di Perak 'beranak' hari ini. Jelas sekali PR semakin mendapat suntikan semangat selepas kejayaan mengadakan Sidang DUN tergempar minggu lalu.

Pagi ini, Menteri Besar Perak, para Exconya dan orang kuat DAP, YB Lim Kit Siang menanam lima batang pokok berhampiran sebatang pokok yang dijadikan tapak 'sidang tergempar' oleh 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selasa lalu.

Ia juga jatuh secara kebetulan genap setahun pascapilihan raya umum ke-12 hari ini.
Pokok itu dinamakan "Pokok Demokrasi".

Turut didirikan ialah tugu bagi menandakan detik tersebut.

Antara lain pada tugu itu tertera "Pokok ini telah menyaksikan sejarah pembangunan sistem demokrasi berparlimen dalam negeri Perak Darul Ridzuan dan merupakan satu simbolik perjuangan demokrasi bagi membentuk sebuah kerajaan dari rakyat untuk rakyat dan demi rakyat.

"Maka demi mengenang sejarah dan sebagai satu simbol perjuangan untuk negeri Perak yang tercinta, pokok ini dinamakan Pokok Demokrasi dan tugu ini didirikan untuk selama-lamanya."
Hadir pada itu ialah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Kelmarin, ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming daripada DAP berkata, lima pokok itu akan dinamakan sempena lima prinsip yang menjadi motto pakatan DAP, PAS dan PKR semasa ia mentadbir Perak sebelum bertukar kepada Barisan Nasional bulan lepas akibat tindakan tiga anggota pembangkang keluar parti masing-masing untuk menyokong BN.

Lima prinsip itu ialah keadilan, amanah, ketelusan, wibawa dan kebajikan.
Beliau menjangka tapak sidang DUN di bawah pokok itu bakal menjadi satu lokasi tarikan pelancong.

Comments