KESAL PENGETUA, GURU BESAR HALANG GURU-GURU HADIR ROAD SHOW GMP ~ Ref Malaysiakini

Jasin : Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Melaka, Mejar (B) Haji Jasme Tompang kesal dengan tindakan Guru Besar dan Pengetua beberapa buah sekolah di Jasin yang menghalang warga pendidik dari menghadiri 'Road Show' Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) malam tadi.

Jasme hairan mengapa mereka menghalang warga pendidik menghadiri program penting bagi menerangkan implikasi dan akibat pelaksanaan PPSMI.

"Sepatutnya warga pendidik digalakkan menghadirinya bukan dihalang, inilah sikap tidak cerdik yang ditunjukkan oleh pengetua dan guru besar".
Selain itu menurutnya tindakan guru besar dan pengetua sekolah ini jelas menghina dan merendah-rendahkan martabat guru sehingga mereka dikongkong.
"Guru-guru sudah tentu mempunyai daya keintelektualan yang tinggi jadi mereka sudah pasti boleh memikirkan yang mana baik dan buruk, mereka sudah boleh menilaikan apakah fakta yang diperkatakan oleh GMP ini betul atau sebaliknya".
"Tidak perlulah mereka dikongkong dan diperbodohkan sebegini" kata Jasme yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin.
Difahamkan terdapat guru besar yang membuat surat akujanji supaya guru-guru sekolah terbabit tidak hadir pada 'Road Show' malam tadi.

PAS Kawasan Jasin selaku penganjur bersama GMP telah menghantar surat jemputan kepada Pejabat Pelajaran Daerah dan semua sekolah-sekolah di daerah Jasin supaya menghadiri program malam tadi. Namun tiada jawapan rasmi diterima.

Laman web Pejabat Pelajaran Daerah Jasin sebaliknya memuatkan 'statement' bahawa mereka tidak bertanggungjawab warga pendidik yang hadir pada program.

Comments