BODOH SOMBONG, CAKAP ORANG CERDIK PANDAI TAK MAHU IKUT ~ Ref Malaysiakini

Rakyat Malaysia terutama orang Melayu memang terkenal dengan taat membuta tuli kepada pemerintah. Apa sahaja pemerintah atau kerajaan kata semuanya betul. Mungkin mereka terikut-ikut dengan perangai Pahlawan legenda, Hang Tuah yang taat dan setia bertarung nyawa sekalipun demi Raja dan pemimpin.

Sedangkan di dalam Islam diajar bahawa Taat kepada manusia ada batasnya, selagi manusia itu taat kepada Allah dan tidak menyuruh atau memerintahkan sesuatu yang bertentangan dengan Islam rakyat wajib taat, namun jika sebaliknya rakyat wajib pula tidak taat. Ertinya ketaatan kepada manusia ada batas dan sempadannya. Namun ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah wajib dan tiada kompromi.

Selain itu sebagai manusia kita adalah merdeka dan bebas untuk melaksanakan apa juga perkara selagi ianya tidak bertentangan dengan Islam.

Namun di negara kita, rakyat nampaknya tidak dapat menggunakan akal dan fikiran yang jelas dan merdeka. Mereka sering terkongkong dan dikongkong sehingga kemahiran berfikir sudah lenyap dan otak pula malas untuk berfikir. Di tambah pula dengan sekatan dan ugutan dari pihak atasan menyebabkan otak rakyat terus bodoh. Sudahlah bodoh sombong pula.

Dalam isu PPSMI umpamanya, antara penyokong kuat dasar ini adalah Tok Sidang, JKKK, ahli-ahli Umno dan rakan-rakan sewaktu dengannya. Sedangkan dipihak yang menentang PPSMI terdiri dari Pakar-pakar Bahasa, Cendikiawan, Penyair, Sasterawan Negara dan sebagainya.

Siapa tidak kenal SN A Samad Said; Professor Dr Abdullah Hassan; Datuk Dr Hassan Ahmad; Prof Awang Sariyan; Dato' Professor Dr Nik Safiah Karim;Professor Dr Shahrir Mohd Zain; Tan Sri Ainuddin Wahid; Datuk Professor Dr Zainal Abidin Wahid; Datuk Mohd Ali Hassan; Ainon Muhammad; Khalid Salleh; Dinsman dan lain. Mereka ini semuanya menentang pelaksanaan PPSMI. Malangnya 'cendiakiawan-cendikiawan' kampung tidak mahu akur dengan kajian dan gesaan cendikiawan tulen diatas.

Orang-orang kampung tidak dapat memikirkan betapa susahnya anak-anak kita belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Betapa susahnya guru-guru yang tidak tahu berbahasa Inggeris mengajar Sains dan Matematik menggunakan bahasa ini. Mereka ini hanya menerima sahaja keputusan kerajaan tanpa usul periksa. Akhirnya anak bangsa sendiri yang ketinggalan dan hanyut kebelakang. Bahasa Melayu terus terpinggir dan tidak mustahil akan pupus ditelan zaman dan disimpan di arkib negara suatu masa nanti.

Nota : Gambar 2 orang pejuang bahasa, Hasbullah Pit dan Faisal Aziz.

Comments