PRK KUALA TERENGGANU : BN TEMPAH MAUT CALONKAN WAN FARID ~ Ref Malaysiakini

BN melakukan kesilapan terbesar dalam sejarah Pilihanraya Kecil (PRK) apabila mencalonkan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu iaitu Wan Farid Salleh sebagai calonnya bagi PRK Kuala Terengganu.

Ini kerana Wan Farid bukanlah calon terbaik dan beliau tidak disenangi di kalangan pengundi PAS dan atas pagar. Sepatutnya BN khususnya Umno memilih calon lain yang lebih berkaliber dari segi latarbelakang, susur galur keluarga, penerimaan akar umbi, peribadi, hubungan dengan rakyat dan sebagainya.

Bagi saya kesilapan BN memilih Wan Farid merupakan kemenangan pusingan pertama PAS dalam menghadapi PRK ini. Dari pengamatan saya terdapat beberapa pusingan dalam PRK iaitu pusingan pertama fasa pemilihan calon; pusingan kedua strategi dan jentera kempen semasa tempoh kempen; pusingan ketiga iaitu rayuan undi terakhir pada hari pengundian, namun ianya tidak memberi banyak perubahan kerana pengundi sudah membuat keputusan sebelum datang mengundi lagi.

Saya tidak tahu apa yang BN/Umno fikirkan sehingga memilih Wan Farid sedangkan calon lain seperti Haji Zuber Embong dan Datuk Zuber Embong lebih diterima masyarakat dan pengundi atas pagar.

Secara peribadi saya begitu gembira dan bersyukur bila nama Wan Farid diumumkan oleh bakal Presiden Umno, Najib Tun Razak.

Ada beberapa faktor yang mendorong saya berpendapat sedemikian, antaranya :-

1) Wan Farid sangat dibenci oleh pengundi PAS dan atas pagar di Parlimen Kuala Terengganu khasnya DUN Batu Burok kerana beliau di dakwa terlibat secara langsung dengan Tragedi Batu Burok. Adalah dijangkakan PAS akan mendapat undi lebih besar khasnya di DUN Batu Burok berbanding PRU 2008 lalu.

2) Wan Farid lebih banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur berbanding Haji Zuber Embong dan lain-lain bakal calon yang diketepikan.

3) Golongan tua iaitu pengundi veteran kurang menyenangi Wan Farid.
4) Beliau mempunyai musuh politik dalaman Umno yang agak ramai kerana beliau telah didakwa 'merampas' tampuk kekuasaan Umno Bahagian Kuala Terengganu dari orang lama.

5) Pengundi atas pagar dan tidak berparti lebih menyenangi calon PAS tempatan berbanding Wan Farid yang dilihat 'Elit'.

6) Penyokong-penyokong Datuk Roslan Awang Chik dan Haji Zuber Embong sudah tentu kecewa dengan pemilihan ini sedangkan mereka yakin bahawa Zuber dan Roslan boleh memberikan tentangan lebih sengit kepada PAS jika mereka dicalonkan mewakili BN.

Apapun saya yakin BN tidak akan senang duduk kali ini kerana mereka semestinya tertekan untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka sebelum ini.

Bagi PAS kemenangan merupakan suatu bonus dan PAS sendiri sudah tentu yakin untuk menang kerana di atas kertas berdasarkan undi PRU 2008 peringkat DUN PAS sudah pun mendahului dengan agar besar iaitu lebih dari 1,000 undi.

Comments