MELAKA HAPUSKAN KESAN SEJARAH PELIHARA 'GAJAH PUTIH' ~ Ref Malaysiakini

Semalam saya bersiar-siar di sekitar Bandar Melaka sekadar melihat perkembangan Bandaraya yang dikatakan antara yang paling pesat membangun di Malaysia.

Memang banyak perubahan yang dilihat berbanding dengan apa yang saya lihat kira-kira 28 tahun dahulu sewaktu saya pertama kali bersiar-siar di sini. Ketika itu Mahkota Parade belum ada. Apa yang ada ialah Selat Melaka yang tanpa jemu menghempaskan airnya ke pantai Bandar Hilir. Rupa-rupanya selepas puluhan tahun pantai itu menjadi medan 'shopping' pencinta 'window shopping' di Melaka. Semua adalah kerana ia telah ditambak.

Tanpa di duga suatu yang Padang Pahlawan yang menjadi sejarah suatu ketika dahulu sudah hilang dari dunia ini apabila ia dikuburkan oleh manusia rakus yang tidak jemu-jemu membina hutan batu sedangkan ianya menelan kesan sejarah yang bermakna kepada negara. Padang itu kini menjadi tempat membeli belah dan tempat berpeleseran anak-anak muda yang seolah-olah tidak faham halal haram.

Padang Pahlawan juga dikenali sebagai Padang Merdeka terletak di Bandar Hilir, Melaka.

Di padang inilah, pada 20 Februari 1956 Tunku Abdul Rahman mengistiharkan bahawa tarikh kemerdekaan telah ditetapkan pada 31 Ogos 1957.

Setelah pulang daripada rundingan selama 3 minggu dengan pihak British, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menaiki konvoi kereta daripada Ayer Keroh ke Padang Merdeka di Melaka sebelum mengumumkan kepada orang ramai pada satu perhimpunan di Padang Merdeka, Bandar Hilir Melaka bahawa Kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu secara rasminya pada 31 Ogos tahun 1957.

Kini ianya hanya tinggal nama akibat kerakusan kerajaan BN Negeri Melaka. Bayangkan sebuah tempat paling bersejarah di mana kemerdekaan negara diisytiharkan pertama kali diumukan, sanggup dikuburkan oleh kerajaan negeri Melaka.

Saya agak mungkin banyak lagi kesan sejarah akan lenyap dari mukabumi Melaka ini andai kerajaan BN terus diberikan mandat pada masa depan.

Banyaknya Gajah Putih dipelihara

Salah satu projek Gajah Putih yang paling merugikan ialah Projek Pulau Melaka. Pulau Melaka yang merupakan sebuah pulau buatan yang dibina dengan menambak laut untuk dijadikan kawasan komersil. Namun, kebanyakan kedai-kedai di sini kelihatan terbengkalai dan tidak berpenghuni. Projek ini dikatakan menelan belanja RM1 bilion.

Di sini terdapat sebuah masjid yang dinamakan Masjid Selat. Saya pun kurang pasti mengapa masjid ini dibina kerana sudah dua kali saya bersembahyang di sana, saya dapati jemaah yang bersolat tidak sampai 15 orang sahaja.

Selain dari Projek Pulau Melaka ini terdapat satu lagi projek Gajah Putih iaitu Melaka Digital Mall, satu lagi pembangunan yang bernilai jutaan ringgit.

Walaupun telah siap sejak tahun lepas lagi, tinjauan saya mendapati hanya terdapat sebuah restoran makanan segera dan beberapa kedai menjual telefon bimbit yang ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’.

Bangunan yang pada peringkat awalnya ingin dijadikan Plaza ‘ Low Yatt Melaka’ yang menjual pelbagai peralatan dan aksesesori komputer dan telefon bimbit tidak menjadi kenyataan.

Menurut seorang pengedar dan penjual barang komputer di bandar ini berkata di antara punca peniaga-peniaga komputer tidak berminat menjalankan operasi di bangunan ini kerana sewanya yang mahal dan masalah tempat letak kereta yang dilihat menyukarkan pengguna untuk berkunjung ke sini.

Saya juga pernah mendedahkan dalam blog ini bahawa Stadium Hang Jebat juga merupakan sebuah projek Gajah Putih kerana ianya jarang digunakan.

Nampaknya begitu banyak projek Gajah Putih di negeri ini sehingga menyebabkan hutang negeri meningkat menjadi RM1.1 bilion mengikut laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2007.

Sikap pemimpin negeri ini yang berbangga dengan projek besar tetapi tidak memberikan hasild dan pulangan kepada negeri dan rakyat amat dikesalkan.

Selepas ini kita juga belum mengetahui nasib yang akan menimpa projek-projek mega lain seperti Eye On Malaysia yang menelan belanja RM40 juta; Menara Taming Sari Menara Taming Sari yang bernilai RM 26 juta dan Skrin Air Terbesar di dunia dan 'aerospace dome' yang bernilai RM 43 juta.

Rakyat Melaka diharap tidak terpengaruh dengan sikap pemimpin negeri yang suka berbangga dengan projek-projek ini tetapi akhirnya menjadi gajah putih sekadar untuk pameran tetapi tidak memberikan hasil kepada negeri. Akhirnya duit rakyat yang hangus dan lebur.

Gambar : http://angkasanuri.blogspot.com

Comments

Sue.Aleen said…
Ketika itu Mahkota Parade belum ada. Apa yang ada ialah Laut Cina Selatan yang tanpa jemu menghempaskan airnya ke pantai Bandar Hilir.

assalamu'alaikum.... laut china selatan ke selat melaka ni...

sudah tukar ka?