TERKINI !!!! SIDANG MEDIA : PR MAHU PERALIHAN SECARA AMAN MENGIKUT UNDANG-UNDANG ~ Ref Malaysiakini

Anwar dengan penuh tanggungjawab dan serius menekankan Pakatan Rakyat sudahpun mendapatkan bilangan Ahli Parlimen yang lebih dari mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Ahli-ahli parlimen yang menyertai PR terdiri dari pelbagai agama, bangsa, kelompok dan wilayah.

Namun beliau tidak menyatakan ahli-ahli Parlimen yang menyertai Pakatan Rakyat atas alasan keselamatan dan mengelakkan tindakbalas dari BN.

Ini terbukti, katanya sebaik sahaja SAPP membuat kritikan kepada BN, Presidennya Yong Teck Lee terus dituduh dengan tuduhan rasuah.

Beliau meminta Kerajaan BN tidak menahan ahli-ahli parlimen yang baru menyertai PR atau sedia ada di bawah ISA, tidak mengisytiharkan darurat dan menggunakan Polis untuk menghalang kemaraan PR membentuk kerajaan.

Anwar memberi jaminan PR akan patuh kepada undang-undang negara dan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Beliau meminta PM dapat berjumpa dengan PR untuk memulakan proses peralihan kuasa dengan licin dan aman.


LAPORAN HARAKAHDAILY

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menunggu jawapan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk diadakan pertemuan dengan Pakatan Rakyat secepat mungkin bagi memastikan peralihan kuasa berlaku secara aman dan demokratik. Iklan

Anwar berkata dalam pertemuan itu, beliau akan mengemukakan senarai nama-nama Ahli Parlimen Barisan Nasional yang telahpun memberikan komitmen untuk bersama-sama membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat.

Tegasnya, selepas bertemu dengan Perdana Menteri, Pakatan Rakyat akan memohon untuk mengadap Yang Di-Pertuan Agong bagi mendapat mandat penubuhan kerajaan baru.

Semua proses ini katanya, walaupun melepasi 16 September, namun ianya harus dilakukan secara teratur, aman dan demokratik menurut lunas-lunas Perlembagaan Negara.

Katanya, beliau memberikan masa kepada PM beberapa hari ini untuk membuat keputusan bertemu dengan Pakatan Rakyat seberapa segera.

"Saya fikir PM tiada sebab untuk tidak bertemu dengan kami (Pakatan Rakyat)," katanya.

Anwar menegaskan demikian dalam sidang akhbarnya di Ibu Pejabat Parti KeADILan Rakyat dekat sini. Antara pemimpin yang hadir ialah, Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar, AJK DAP Pusat, Tan Kok Wai.

Menurut Anwar setakat ini jumlah Ahli Parlimen yang diperlukan melebihi 31 orang dan jumlah yang memberikan komitmen mereka bertambah dari masa ke semasa.

Menjawab soalan wartawan, Anwar tidak menafikan antaranya adalah yang berjawatan Menteri, Timbalan Menteri serta lain-lain pemegang jawatan utama dari pelbagai parti.

Walaupun diasak pelbagai desakan wartawan meminta beliau mengemukakan senarai tersebut, Anwar bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana bimbang ahli-ahli parlimen tersebut akan diugut.

Katanya, apa yang penting Perdana Menteri harus memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan ISA dan sebarang bentuk sekatan kepada perubahan kerajaan.

Comments