PEMBUKAAN SATU LAGI GEDUNG PERNIAGAAN PARAHKAN PENIAGA RUNCIT ~ Ref Malaysiakini

Pembukaan satu lagi gedung perniagaan besar (Hypermarket) berhampiran Pasaraya Tesco Melaka menambahkan lagi keperitan peniaga-peniaga runcit di negeri ini. Sekarang inipun kedudukan perniagaan peruncit-peruncit ini bagaikan telur di hujung tanduk dengan keujudan lebih dari 5 pasaraya besar di negeri ini. Antaranya Tesco, Giant, Kamdar, Jusco, Family Store, Econsave dan lain-lain.

Seperti yang diketahui umum pasaraya besar yang mempunyai rangkaian di negara malah dunia ini mempunyai modal yang besar dan mampu menawarkan harga yang jauh lebih murah berbanding harga yang ditawarkan oleh kedai-kedai runcit.

Pelanggan-pelanggan juga lebih berminat membeli-belah di Hypermarket-hypermarket ini kerana keadaan persekitarannya yang selesa, berhawa dingin dan selesa. Malah pelanggan-pelanggan juga boleh membeli-belah di samping bersantai dengan keluarga kerana semua kemudahan ada tersedia seperti pusat permainan kanak-kanak, medan selera dan sebagainya.

Seorang pekedai runcit, Hj Mohd Ali Sharif berkata, memang perniagaan beliau terjejas teruk sejak penubuhan pasaraya-pasaraya besar yang berhampiran dengan lokasi kedainya.

"Sekarang ini memang jualan saya menurun, lebih-lebih dalam keadaan sekarang, pelanggan berhati-hati berbelanja dan mereka lebih suka membeli belah di Hypermarket kerana harga yang lebih rendah".

"Saya cadangkan kerajaan mengawal pembukaan Hypermarket ini kerana jumlahnya sudah lebih dari mencukupi"

Beliau kesal kerana kerajaan negeri begitu mudah meluluskan permohonan Hypermarket-hypermarket seperti ini tanpa menghiraukan kebajikan peniaga-peniaga seperti beliau.

Saya harap selepas ini kerajaan negeri tidak lagi melayan permohonan Hypermarket seperti ini agar kami boleh meneruskan perniagaan kami yang semakin tertekan sekarang.

Comments