PAK LAH BESIKAP DIKTATOR, SALAHGUNA KUASA EKSEKUTIF DAN SABOTAJ PROSES DEMOKRASI - ANWAR ~ Ref Malaysiakini

Saya menyokong kenyataan akhbar Anwar hari ini yang menyatakan bahawa keengganan Pak Lah memanggil Sidang Khas Parlimen Malaysia dilihat sebagai satu usaha untuk mensabotaj proses demokrasi dan dianggap sebagai satu penyalahgunaan Kuasa Eksekutif.

Pak Lah, kata Anwar ternyata mengabaikan kedaulatan undang-undang dan sanggup untuk melanggar batas-batas Kuasa Eksekutif yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini sangat menampakkan sikap seorang diktator yang degil untuk terus berkuasa dan menghampakan harapan rakyat.

Begitulah antara isi kenyataan akhbar Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang disiarkan oleh Harakahdaily hari ini.

Kenyataan Anwar ini ada kebenarannya kerana Pak Lah langsung tidak menunjukkan minat untuk berunding malah menolak mentah-mentah dua surat yang dihantar kepadanya oleh Anwar. Hanya pemimpin yang bersifat diktator sahaja yang tidak mahu mendengar pandangan dan permintaan orang lain lebih-lebih lagi dalam isu yang sangat besar berkaitan halatuju masadepan pentadbiran negara.

Lebih teruk dari itu Pak Lah pula mendakwa Anwar membohongi beliau dan rakyat dengan mendakwa Anwar tidak meletakkan agenda perbincangan untuk peralihan kuasa dalam surat pertama Anwar kepadanya. Sedangkan Anwar menyatakan beliau menggunakan bahasa yang berhemah iaitu berbincang tentang masa depan politik negara di dalam surat tersebut.

Pak Lah jelas mengambil ringan suatu perkara yang sangat serius iaitu krisis keyakinan Ahli-ahli Parlimen kepada pemerintahannya. Anwar dengan yakin menyatakan bahawa ahli-ahli parlimen BN telah menyatakan kesediaan untuk bersama Pakatan Rakyat dan jumlah mereka sudah lebih dari 31 orang. Ini bermakna BN sudah hilang majoriti di Parlimen.

Untuk menyelesaikan isu kenyataan Anwar bahawa PR sudah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen iaitu lebih dari 112 kerusi, Pak Lah sepatutnya berjiwa besar sanggup berbincang tentang halatuju pentadbiran negara atau memanggil sidang khas parlimen bagi membuktikan siapa yang bercakap benar siapa yang berbohong. Berikan kebebasan kepada ahli-ahli parlimen berbahas dan menyatakan sokongan masing-masing kepada pihak yang mana satu samada BN atau PR. Dengan itu keputusan akan dapat diambil samada kerajaan sekarang kekal atau kerajaan baru perlu dibentuk.

Jika benar BN masih menerima sokongan majoriti ahli parlimen Pak Lah tidak perlu takut dengan dakwaan Anwar malah Pak Lah akan mematikan terus karier politik Anwar dan PR jika benar dakwaan Anwar itu adalah bohong. Rakyat akan menghukum PR kerana membuat dakwaan palsu dengan mencanang ke sana ke mari yang PR sudah mendapat sokongan majoriti.

Andaikata Pak Lah berfikiran terbuka sanggup berbincang dan memanggil sidang khas parlimen, saya yakin Pak Lah akan dikenang sebagai negarawan ulung negara kerana sanggup mengenepikan kepentingan diri dan partinya demi masadepan negara. Manakala Anwar juga akan dikenang sebagai pemimpin yang matang, bersopan dan tidak tamak kuasa kerana sanggup mengambil jalan selamat, mengikut undang-undang dan menghormati Perdana Menteri yang ada walaupun berlainan ideologi politik.

Comments