TELITI, KAJI DAN BAHAS DULU BAJET BARU SOKONG


MELAKA 28 OKT : Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Sofi Wahab bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu bahawa sesuatu usul dan perkara yang dibentangkan di Parlimen mesti diteliti, dikaji dan dibahaskan sebelum sokongan atau penolakan dibuat.

"Sebagai wakil rakyat kita mesti faham bahawa setiap sen yang akan dibelanjakan oleh kerajaan adalah duit rakyat". 

"Semua Ahli Parlimen akan dipertanggungjawabkan jika bajet tersebut tidak dapat membantu rakyat secara keseluruhannya. Kita tak boleh hentam keromo menyokongnya kerana dikhuatiri ianya tidak menguntungkan rakyat"ujar beliau yang juga ADUN Durian Tunggal.

Sebab itu katanya kali ini semua pihak mesti dilibatkan dalam menyediakan bajet tersebut. Jangan hanya ia disediakan oleh pihak kerajaan 100%.

PKR dalam satu kenyataan medianya petang ini menyanjung dan menghayati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara diutamakan dalam proses meluluskan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen bulan depan.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail, berkata cara untuk menghayati titah nasihat baginda adalah dengan meneliti secara keseluruhan setiap perkara dalam belanjawan berkenaan kerana ia melibatkan wang rakyat.

“Titah nasihat yang datang dari istana merupakan nasihat yang datang daripada raja yang bijaksana. (Nasihat itu) Mesti dihayati.

“Dalam konteks ahli parlimen, cara menghayatinya ialah dengan scrutinize (meneliti) setiap patah perkataan, setiap angka... dari mana duit datang, dari mana hasil, ke mana dibelanjakan, dan kemudian membuat keputusan dalam institusi parlimen.

“Kerana setiap sen ini adalah duit rakyat,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Ahli parlimen Kulim Bandar Baharu itu diminta mengulas tentang pendirian PKR dalam isu Belanjawan 2021 serta titah nasihat Agong hari ini agar ahli Dewan Rakyat menghentikan perbalahan politik dengan mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara dan menyokong belanjawan berkenaan.

Kata Saifuddin, titah nasihat yang dikeluarkan itu akan disentuh dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijadual berlangsung esok.

Jelas Saifuddin, sebelum bersetuju atau tidak dengan belanjawan itu, menjadi tanggungjawab ahli parlimen untuk menelitinya terlebih dahulu kerana mereka perlu membahaskan belanjawan berkenaan di Dewan Rakyat.

Berdepan usul percaya, tak percaya

“Naluri kemanusiaan pun, kita ada sifat: sebelum bersetuju atau tidak bersetuju, sokong atau tolak, kita hendaklah tahu dulu satu-satu perkara.

“Dari sudut tanggungjawab sebagai ahli parlimen pun, kita kena tahu isi kandungan sesuatu belanjawan. Sebab kita akan berbahas.

“Belanjawan ini melibatkan polisi dan angka. Dia melibatkan maklumat pendapatan dan perbelanjaan negara. Yang kita nak belanjakan ini wang rakyat,” katanya lagi.

Usul Belanjawan 2021 menarik perhatian apabila terdapat spekulasi bahawa ia mungkin dijadikan medan untuk ahli parlimen membuat undi tidak percaya ke atas Muhyiddin selepas Agong menolak pelaksanaan perintah darurat yang dicadangkannya.

Amanah dan DAP sebelum ini memberikan bayangan akan menyokong usul berkenaan, namun hal itu akan dibincang lebih lanjut bersama PKR dalam mesyuarat esok. 

Menurut laporan Utusan Malaysia, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengakui menerima sejumlah usul termasuk undi tidak percaya dan undi percaya daripada ahli parlimen

Bagaimanapun, kata Azhar, usul lebih penting daripada pihak kementerian akan diutamakan untuk dimasukkan dalam aturan mesyuarat.

Usul percaya, jika dikalahkan, bermaksud Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Sementara itu Amanah akan membuat sebarang keputusan keadaan politik semasa termasuk sokongan terhadap Belanjawan 2021 pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Presidennya Mohamad Sabu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya semua ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021.

Mohamad juga disoal jika terdapat pembubaran parlimen adakah ahli parlimen Kota Raja itu yakin dapat mengekalkan kerusinya.

"Esok kita buat keputusan dalan mesyuarat PH" jawabnya ringkas dipetik dari Portal Online Malaysiakini.

--Malaysiakini





Comments