Sejumlah 1,077 kawasan terjejas di Selangor terima bekalan air sepenuhnya

 


KUALA LUMPUR, 21 Okt -- Sejumlah 1,077 kawasan atau 83 peratus daripada 1,292 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang akibat pencemaran Isnin lepas, telah menerima bekalan air sepenuhnya setakat 6 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata baki 215  kawasan, masih dalam proses pemulihan dan Air Selangor telah memaksimumkan usaha untuk memulihkan bekalan air kepada pengguna terjejas.

“Berikutan itu, masa pemulihan sepenuhnya yang baharu untuk kesemua kawasan terjejas adalah dijangka pada 8 pagi, 22 Okt 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, wilayah Hulu Selangor mencatatkan peratus pemulihan tertinggi iaitu 100 peratus diikuti Kuala Selangor (99 peratus), Petaling Jaya (94 peratus), Kuala Lumpur (89 peratus), Gombak (71 peratus), Klang/Shah Alam (54 peratus) dan Kuala Langat (50 peratus).

Elina berkata bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih lagi disediakan untuk kemudahan pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com,” katanya.

-- BERNAMA

Comments