Agong: Anwar tidak senarai nama MP yang sokongnya


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengesahkan bahawa Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam majlis menghadap pagi tadi telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada dirinya.

Walaubagaimanapun, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, presiden PKR itu tidak mengemukakan senarai nama mereka.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walaubagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

"Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad Fadil.
Beberapa ahli politik mempersoalkan mengapa Anwar tidak mempersembahkan nama kepada Agong.

"Mengapa Anwar tidak mengemukakan senarai nama Ahli Parlimen yang menyokongnya. Ini satu persoalan?"

"Ini perkara yang paling penting bagi membuktikan dakwaan beliau" soal Ibrahim Bakar seorang ahli sebuah parti politik di Melaka yang tidak mahu menyatakan parti mana yang beliau anggotai. 

Seorang lagi yang diminta memberikan pandangan ialah Liew Kong Tiong dari Taman Bemban, Melaka.

"Mana boleh macam itu, Anwar mesti kasi itu nama, baru Agong boleh buat keputusan"

"Anwar betul-betul ada penyokong atau tidak" soal Liew yang mengaku menyokong PH pada PRU14 dahulu. 

Comments