MAQIS GAGALKAN CUBAAN BAWA KELUAR 281 KG IKAN

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor berjaya menggagalkan cubaan membawa keluar bekalan ikan seberat 281 kilogram (kg) tanpa permit eksport di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, di sini, awal pagi semalam. Pengarahnya Nur Afifah A. Rahman berkata hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori pada jam 1 pagi itu, mendapati 56kg ikan kerapu dan 225kg ikan tenggiri yang tidak diikrarkan disorokkan pemilik lori bersama tong ikan lain yang mempunyai permit. Beliau berkata bekalan itu dirampas ketika hendak dibawa keluar ke Singapura di laluan lori KSAB. “Jumlah ikan yang tidak mempunyai permit eksport itu bernilai RM7,004.83,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama. Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan, katanya. -- BERNAMA Gambar sekadar hiasan

Comments