PESANAN SAFWAN ANANG KEPADA RAKYAT MALAYSIA

Saya baru pulang berjumpa suami di Penjara Sungai Buloh bersama dengan ayah, kakak dan abang ipar. Disebabkan beliau masih sedang dalam tempoh kuarantin, maka hanya ahli keluarga sahaja yang dibenarkan masuk.

Setelah mendaftar, saya dibenarkan bertemu beliau di bilik nombor 16. Saya bukanlah sehebat ibunda Wan Azizah yang sudah biasa dengan prosedur penjara. Jadi, dalam hati saya, debarannya tetap... ada.

Sesampainya di bilik 16, saya nampak suami saya. Kelihatan wajah beliau sangat tenang menanti kami di sebalik bilik separuh kaca separuh simen.
Saya hanya boleh berkomunikasi dengan beliau menerusi telefon sahaja. Di belakang kami, ada pegawai yang memerhati. Pertama kali saya melihat beliau, saya tersenyum. 
Lega beliau masih dalam keadaan yang baik. Sosok yang berada di sebalik tingkap kaca tebal itu adalah suami saya. Rambutnya sudah dipotong dan beliau memakai baju banduan berwarna ungu, bernombor 3130 2770 seperti banduan yang lain. 
Bezanya, suami saya bukan penjenayah. Suami saya hanya seorang yang tegas dengan prinsipnya. Beliau tidak bersalah. Beliau bukan penjenayah.

Saya angkat gagang telefon dan beliau memberi salam. 
Beliau bertanyakan kesihatan saya dan kandungan. Saya sebak. 
Saya merindui suami saya. Tapi air mata masih ditahan supaya beliau terus bersemangat melihat saya. Beliau kelihatan ceria. 
Saya bertanya pula tentang keadaan beliau. Beliau katakan beliau sihat dan dalam keadaan yang baik. Pegawai penjara menghormati dan melayani beliau dengan profesional, dan saya berterima kasih tentang itu. 

Beliau ceritakan bahawa beliau bersama-sama dengan dua orang yang lain di dalam satu sel. Hanya diberikan selimut dan tidur di atas lantai. 
Beliau katakan, "Ini biasa, macam tamrin (latihan kepimpinan ketika di Universiti Malaya)", dengan nada bergurau. 
Seperti biasa, ada tandas tanpa pintu untuk dikongsi beramai-ramai. Melihat ketenangan beliau bercerita, saya kembali tenang.

Saya tanya, "Abang buat apa dalam sel?" Kata beliau, "Abang ulang hafalan al-Quran. Waktu solat abang jadi imam." Alhamdulillah.

Beliau ada amanat besar yang ingin disampaikan kepada semua yang berada di luar:

"Saya tetap dalam keadaan bersemangat walaupun saya terkurung di dalam jeriji besi. Ini pesan saya; teruskan bersolidariti, selamatkan demokrasi."

"Segala bentuk pertuduhan yang berlaku di bawah akta hasutan atau undang-undang zalim yang lain dalam keadaan sekarang adalah perancangan yang jahat dan bermotifkan politik untuk menggelapkan penipuan SPR serta kerajaan UMNO-BN dalam pilihanraya."

"Saya akan keluar daripada jeriji besi ini. Tunggu saya di luar dan kita akan buat perubahan yang lebih besar!"

Setelah 15-20 minit bertemu beliau, datang seorang pegawai penjara memberi isyarat. Masa sudah tamat dan saya harus meletakkan gagang. 
Beliau berpesan supaya saya menjaga diri dan kandungan. 
Beliau tegaskan sekali lagi supaya saya sampaikan kepada rakyat di luar sana untuk tunggu beliau di luar. Tak lama lagi beliau akan keluar daripada jeriji besi dan meneruskan momentum perubahan.

Pertama kali dalam hidup saya, saya menziarahi seseorang di penjara. Anehnya, saya datang dalam keadaan berbangga. Kerana suami saya bukan penjenayah. Suami saya pejuang kebenaran, yang rela berkorban demi menegakkan kebenaran, melawan kezaliman.

Saya menyeru semua rakyat turun bersama bersolidariti sekali lagi malam ini, jam 8 malam di hadapan Penjara Sungai Buloh untuk memberikan sokongan kepada Safwan Anang, bersama-sama bangkit melawan penipuan SPR dan UMNO-BN dalam pilihanraya. Hidup Mahasiswa, Hidup Rakyat! #We Are All Safwan Anang


Oleh : Masturah Abu Bakar, isteri Safwan Anang.(http://wargamarhaen.blogspot.com)

Comments

Anonymous said…
salam,
Alangkah baiknya jika Allah beri petunjuk kepada anda dan suami anda akan kebenaran. Bukalah mata hati, sembahyang istiqarah, cari kebenaran. Sayangilah agama, bangsa dan negara anda. Jgnlah menambahkah dosa dengan mengajak orang lain bersama anda. Tolonglah... Saya merayu sangat2.
Anonymous said…
Damokrasi yg macam mane kamu nak. Kamu kata org lain sbg pengkhianat, penipu, zalim dn pelbagai tuduhan tetapi dlm masa yg sama kamu memberitahu kamu dn suami kamu org yg baik2. Apakah kamu ni rasis orgnya?