NAK JADI CALON PUNYA PASAL TERPAKSA BELI IJAZAH??

Apakah kerana terlalu kepingin menjadi calon ada antara mereka yang membeli ijazah bagi membuktikan seseorang itu terpelajar dan hebat.

Sekarang ini memang mudah untuk mendapat ijazah hatta PhD sekalipun. Hanya perlu bayar. Tak perlu susah masuk kelas, buat assignment, masuk peperiksaan dan sebagainya.


Timbalan Menteri Luar Negeri A Kohilan Pillay adalah antara lima calon BN yang didakwa memilik sijil kelulusan pengajian tertinggi yang bermasalah.

Strategis pilihanraya DAP Ong Kian Ming berkata Kohilan bersama Teh Kim Pooh, Pengerusi Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA), Ching Eu Boon dan Lee Ban Seng dari MCA dan Ab Wahab Ibrahim, ketua hal ehwal agama Umno memiliki sijil kelulusan pengajian tertinggi daripada universiti yang pernah dibuktikan menjual ijazah.

“Ini adalah sangat mendukacitakan apabila lima daripada calon BN, dua di parlimen dan tiga di DUN, mengemukakan kelulusan akademi daripada institusi yang boleh disifatkan sebagai kilang ijazah, atau erti kata lain daripada universiti dan kolej yang memberikan ijazah palsu dengan bayaran,” kata Ong dalam satu kenyataan hari ini.

Ong mendakwa Kohilan, yang dipilih menjadi calon kerusi parlimen Puchong mendapat ijazah Sarjana Sains Perdagangan dan Ekonomi Industri dari Pacific Western University, Amerika Syarikat (AS), sebuah institusi pendidikan yang pernah disaman dan ditutup selepas didapati menjual ijazah.

Calon bagi kerusi parlimen Klang pula, Teh Kim Pooh didakwa Ong mendapat Ijazah Doktor Falsafahnya dari New Port University – sebuah universiti yang diragui.

Calon DUN Taman Medan, Abdul Wahad dari Umno pula mendapat PhD dalam Pentadbiran Awam dari Irish International Universiti yang dilaporkan palsu pada 2008 oleh British Broadcasting Corporation.

Ching dan Lee, masing-masing calon BN untuk Pandamaran dan Kajang pula didakwa Ong mendapat ijazah daripada St George University International dan Universiti Rutherford di AS, yang disebut sebagai ‘kilang ijazah’.

“Calon yang merasakan mereka perlu ‘membeli’ ijazah, samada di peringkat sarjana muda, sarjana, telah menyebabkan integriti mereka diragui. 

"Jika calon-calon ini sanggup menipu pengundi mengenai kelulusan akademi mereka, iaitu salah satu aspek penting di dalam hidup seseorang, mana aspek lain dalam kehidupan yang calon ini sanggup menipu termasuk perkara-perkara yang melibatkan kepentingan awam seperti pengurusan dana awam serta tanggungjawab menggunakan sumber awam,” tegas Ong.

Ong mendesak lima calon BN untuk menjawab tuduhan beliau.

“Jika mereka gagal untuk menjelaskan pada pengundi, saya menyeru mereka untuk mengundurkan diri daripada bertanding,” tambah Ong.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed telah menegaskan bahawa integriti senarai calon BN telah disahkan.

Selepas Datuk Zulkifli Noordin dicalonkan di Shah Alam dan pendedahan Ong ini, rakyat akan bertanya apakah sebenarnya syarat-syarat untuk menjadi calon winnable Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.'

Sumber : Harakahdaily.

Comments