2 BEKAS PEGAWAI KANAN KERAJAAN MASUK PAS DI MELAKA


2 orang bekas Pegawai Kanan Kerajaan menyertai PAS di Melaka malam tadi. Mereka ialah bekas Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Sahak Sudin dan bekas Timbalan Pengrah Hospital Besar Melaka, Dr Hj Khalid Kassim.

Kedua-dua mereka menyerahkan borang menyertai PAS kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada program ceramah perdana sempena Konvoi Jelajah Lajnah Penerangan PAS Pusat ke Melaka malam tadi.

Dr Khalid (gambar atas) telah berkhidmat di Hospital Besar sejak puluhan tahun lalu dan menamatkan perkhidmatan sepenuh masa dengan kerajaan sejak beberapa tahun lalu.
Sementara Dato' Sahak (gambar bawah) pernah berkhidmat di beberapa buah negeri dan jawatan tertinggi beliau ialah Pengarah Kastam Pulau Pinang.

Kedua-dua mereka berasal dari Melaka dan telah menyatakan kesediaan untuk menyumbangkan sepenuh tenaga kepada perjuangan menegakkan Islam dan keadilan di Melaka.

Kemasukan kedua-dua mereka yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam memberikan suntikan baru kepada PAS Melaka dalam mengharungi perjuangan membebaskan rakyat Melaka dari cengkaman pemerintahan Kerajaan BN Melaka selama lebih dari 54 tahun.

Beberapa ahli PAS yang ditemui melahirkan rasa syukur kerana perjuangan PAS khususnya di Melaka semakin diterima rakyat tidak kira dari golongan mana sekalipun. 

Sementara itu Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka, Asri Sheikh Abdul Aziz berharap lebih ramai bekas-bekas Pegawai Kerajaan untuk tampil ke hadapan menyertai PAS kerana pengalaman mereka sudah tentu dapat menyumbangkan sesuatu kepada perjuangan menegakkan keadilan di Melaka.
\
"Kita tahu ramai bekas pegawai kerajaan yang menyokong dan simpati kepada perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat, mereka mesti menzahirkan kefahaman dan pendirian politik mereka supaya rakyat terbanyak turut sama menyertai PAS dan Pakatan bagi menubuhkan sebuah kerajaan baru yang lebih adil dan telus di Melaka" ujar Asri yang juga merupakan Penyelia Dun Lendu.

Comments