Bukan rakyat Selangor terseksa tetapi Umno yang derita

Timbalan Perdana menteri Muhyiddin Yassin dengan muka tidak malu berkata masyarakat Selangor akan memilih BN dalam pilihan raya akan datang setelah rakyat kini didakwa "terseksa" bawah Pakatan Rakyat.

Ternyata Muhyiddin bermuka tembok masuk kampung orang tanpa segan silu menuduh rakyat Selangor terseksa sedangkan hakikat sebenar beliau dan pemimpin Umno yang terseksa sedangkan rakyat Selangor hidup aman damai tanpa masalah.

Dengan selamba dan tidak tahu malu Muhyiddin berkata "Sorrylah berkempen," beliau cuba melunakkan suasana dalam ucapannya di sekolah SMK Meru, Klang itu.

Sudahlah menggunakan harta awam iaitu sekolah seumpama harta 'meredak ' Umno lepas itu memfitnah dan memburuk-burukkan tuan tanah kedaung. Memang dasar muka tak malu sedangkan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman jug hadir pada program tersebut bagi menghormati beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Inilah sikap pemimpin Umno yang tidak pernah berubah. Tidak berani menyatakan kebenaran dan tidak berjiwa besar.

Hakikatnya rakyat negeri Selangor semakin aman, makmur dan sejahtera selepas PR mengambilalih kerajaan negeri dengan pelbagai program kebajikan antaranya air percuma, bantuan untuk anak baru lahir, warga emas, pelajar dan sebagainya.

Malah masjiid, surau dan sebagainya semakin makmur diimarahkan dengan program ilmu dan sebagainya. Bilangan jemaah yang datang ke masjid semakin ramai. 

Antara kejayaan kerajaan negeri Selangor :


Antara kejayaan adalah seramai 27,000 orang menerima bantuan Tabung Warisan Anak Selangor ( Tawas ) dengan perbelanjaan lebih RM 2 juta.
Satu Pusat Dialisis Rakyat juga telah dibuka di Sementa, Taman Medan, Hulu Klang, Ampang dan Jalan Kebun, manakala sebanyak 500 buah rumah ibadah bukan Islam juga menerima sebanyak RM7.35 juta sejak tahun 2008.
Sebanyak 60 peratus dari 236 ribu warga emas mendaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas dan seramai 16,000 orang sudah mendapat bantuan tersebut.
Kerajaan Negeri juga mewujudkan program pemeriksaan Mammogram percuma untuk kesihatan kaum wanita dan seramai 3,000 orang sudah menggunakannya bagi mengesan tanda-tanda awal kanser payudara.
Kerajaan Negeri juga sudah berjaya menyelesaikan 23 projek perumahan terbengkalai yang melibatkan 9,000 unit rumah dan tujuh projek melibatkan hampir 4,000 unit rumah sedang diselesaikan.
Sebanyak 350 buah rumah sudah dibina untuk golongan fakir miskin dan 400 buah rumah lagi masih dibaiki di bawah Program Kerajaan Prihatin.
Kerajaan Negeri juga memperuntukkan 3 juta kepada lebih 700 orang rakyat miskin untuk pelbagai kegiatan.
Sekolah Agama Rakyat (SAR), sekolah Cina dan sekolah Tamil sudah menerima agihan RM16 juta setiap tahun, manakala gaji guru KAFA turut dinaikkan kepada RM1,300 setiap bulan.
------------------------------
Selangor terus mempamerkan pencapaian cemerlang apabila berjaya meningkatkan pendapatan kerajaan negeri sebanyak 20 peratus dari RM1.59 bilion kepada RM1.77 bilion sepanjang pentadbiran di bawah Pakatan Rakyat.

Oleh itu PAS Selangor hari ini menerusi pesuruhjayanya, Dr Rani Osman merakamkan jutaan tahniah kepada kerajaan negeri di bawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Banyak yang dilakukan antaranya PR berjaya mengembalikan dana sebanyak RM500 juta kepada rakyat melalui pelbagai pakej program Merakyatkan Ekonomi Selangor, membelanjakan sehingga kini RM150 juta bagi pemberian 20 meter padu air percuma kepada rakyat negeri Selangor.

“Selangor juga di bawah PR berjaya mendaftarkan seramai 154, 700 warga emas dan OKU di bawah Skim Mesra Usia Emas serta membelanjakan sebanyak RM54 juta kepada 23,140 waris,” katanya pada satu sidang media PAS yang diadakan di sini.

Menurut Rani, biarpun pada mulanya, usaha kerajaan negeri ini dipandang serong oleh Umno Barisan Nasional,namun akhirnya usaha yang berterusan ini berjaya menepis segala pandangan sinis mereka.

“Ini saya ingat lagi, ketika dibentangkan, masa itu ketua pembangkang adalah Khir Toyo dan ketika itu dia bangun dan dia bangun di dewan dan ketawa menyatakan usaha kerajaan negeri Selangor untuk 20m air ini tidak akan berjaya,” katanya.

Antara kejayaan kerajaan negeri yang lain ialah memperuntukkan RM10 juta daripada hasil perlombongan pasir bagi menjayakan program Jom Shopping Bersama YB, peruntukan RM50 juta daripada hasil kutipan hutang Kumpulan Talam bagi menjayakan Skim Mikrokredit Selangor dan peruntukan RM20 juta daripada hasil kutipan hutang Kumpulan Talam bagi menjayakan Skim Mikrokredit Miskin Bandar.

Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan negeri adalah contoh negeri berkebajikan apabila memperuntukkan RM30 juta daripada Pemerbadanan Menteri Besar bagi meningkatkan pendapatan keluarga, usahawan dan rakyat Selangor.
“Kerajaan negeri memperuntukkan RM7.7 juta untuk Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan untuk baiki pangsapuri kos rendah di Selangor.

“Malah kerajaan negeri juga memperuntukkan RM5.2 juta untuk mengecat semula pangsapuri kos rendah di Selangor,” tambah beliau.

Selain itu, daripada peruntukan untuk membaiki pangsapuri, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM16 juta bagi Sekolah Agama Rakyat, Cina dan Tamil setakat ini jika hendak dibandingkan sewaktu Umno BN memerintah.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM13.5 juta bagi Tabung Warisan Anak Selangor dan RM5 juta bagi kebajikan dan pendidikan anak-anak dan keluarga kakitangan awam kerajaan negeri.

Malah katanya, kerajaan negeri juga turut membantu rakyatnya dari segi usaha menjayakan skim pemilikan kediaman persendirian dengan hanya membayar RM1, 000 bagi mendapatkan geran tanah.

Katanya, usaha kerajaan negeri ini akhirnya berjaya mengubah taraf hidup rakyat yang selama ini berada pada takuk yang sama ketika Umno BN dahulu.

Comments