SATU USUL DITERIMA, SATU USUL DITOLAK

Satu usul diterima sebulat suara dan satu usul lagi ditolak juga dengan sebulat suara pada mesyuarat agung PAS Kawasan Bukit Katil kali ke 6 di INB Resort Ayer Keroh pagi ini.
Usul supaya kabinet menarik balik keputusan berhubung pengekalan agama asal anak walaupun ibu atau bapanya telah memeluk Islam telah diterima sebulat suara tanpa bahas.
Dalam ucapan ketika membentangkan usul tersebut, mantan Ketua Urusan Ulama' PAS Kawasan Bukit Katil Ustaz Mohd Khairi Abdul Aziz menyifatkan keputusan kabinet itu tidak dibuat mengikut saluran yang betul, biadap dan tidak bertanggungjawab.
"(Oleh itu) kita berikan tekanan kepada kabinet supaya tarik balik keputusan ini sebelum perlembagaan negara dipinda," katanya.
Beliau menganggap keputusan kabinet pada 23 April sebagai "paling biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong, mufti, Parlimen dan juga sistem kehakiman negara.
"Sesungguhnya kabinet sedar bahawa mereka hanyalah berkuasa dalam sudut eksekutif bukannya legistatif dan kehakiman.
"Maka tidak selayaknya mereka mengeluarkan keputusan dan arahan melangkaui bidang kuasa mereka terutamanya dalam isu yang membabitkan soal agama," katanya.

Comments