PENDUDUK BANTAH PEMBINAAN JIRAT CINA

Jasin : Beberapa orang penduduk di sekitar Jasin menyuarakan rasa tidak puashati dengan tindakan Kerajaan BN Melaka yang membenarkan pembinaan kawasan jirat cina di Kampung Pondok Kempas, Bemban dekat sini.

Yassim Musa (gambar), 56 dari Paya Dalam kesal kerana kerajaan negeri tidak peka dengan sensitiviti penduduk melayu berikutan kelulusan projek Tanah Perkuburan Cina yang melibatkan keluasan 77 ekar di kawasan tersebut.

"Kita bukan anti Cina atau mengamalkan dasar perkauman tetapi biarlah ianya sesuai dengan tempat dan keadaan di mana ianya hendak didirikan, kampung Pondok Kempas terdiri dari 99 % orang Melayu dan jaraknya sangat berdekatan dengan penempatan penduduk kampung".

"Kerajaan negeri sepatutnya mencari kawasan lain yang lebih sesuai dan jaraknya tidak begitu hampir dengan perkampungan" ujar Yassim seorang pesara.

Yuhaizad Abdullah, 35 pula berpendapat projek ini dianggap tidak munasabah memandangkan terdapat banyak lagi kawasan lain yang lebih sesuai untuk dibina tapak perkuburan ini.

"Saya mengharapkan kerajaan negeri supaya memikirkan semula kelulusan tapak ini kerana ianya melibatkan kawasan yang luas yang boleh diusahakan untuk projek-projek lain, malah kampung itu juga adalah kampung tradisi orang Melayu".

"Adalah lebih baik kawasan perkuburan sesuatu kaum di bina di kawasan kaum masing-masing bagi memudahkan pengangkutan dan pengurusan tanah perkuburan tersebut, kalau kerajaan negeri boleh buat bandar untuk orang-orang Sepanyol dan Arab takkan tanah kubur untuk orang Cina tidak boleh dicari tempat yang sesuai" ujar Yuhaizad yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Syamsul Iskandar Md Akin berkata kerajaan negeri Melaka nyata tidak menjalankan kajian yang terperinci dan mendalam sebelum melaksanakan sesuatu projek yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

"Sepatutnya kerajaan negeri peka kepada sensitiviti rakyat yang tidak selesa tinggal di kawasan yang berhampiran dengan tanah perkuburan bahkan ianya sangat luas sehingga 77 ekar, malah kawasan tersebut adalah kawasan orang Melayu, mana mungkin mereka akan selesa tinggal berdekatan jirat Cina".

Syamsul juga meminta ketua pembangkang Melaka YB Goh Leong San (ADUN Kesidang) membawa perkara pada Sidang Dun Melaka akan datang.

Beliau turut menjelaskan kemungkinan Ali Rustam mendapat faedah daripada projek tersebut memandangkan Ali tidak langsung memikirkan kesan terhadap penduduk setempat.

Shamsul berkata demikian pada program Forum Menjana Gelombang 13 di Simpang Kemendor Jasin anjuran Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka baru-baru ini.

Gambar : Ihsan dari Nada Rakyat

Comments