3R JADI TALIAN HAYAT BN

Bukit Katil : Pengerusi PKR Melaka, Khalid Jaafar berkata BN menggunakan 3R untuk mengekalkan kuasanya iaitu sentimen Race, Religion, Royal (Bangsa, Agama dan Sultan).
Hanya dengan 3R ini sahajalah talian hayat yang BN ada kerana isu-isu lain sudah tidak laku dan tidak mampu untuk mempengaruhi rakyat. Dengan sentimen bangsa (race) BN meniupkan api perkauman di kalangan bangsa Melayu agar mereka kembali menyokong BN khasnya Umno.
"Sebab itu kita lihat Umno menggunakan isu DAP anti melayu, seperti isu Pengerusi DAP Johor yang dikatakan menyamakan dasar bumiputerisme dengan dasar apartheid".
"Umno membesar-besarkan isu ini untuk menagih simpati orang Melayu" kata Khalid.
Mengenai sentimen Ugama (religion) pula, jelas sekali BN sering memainkan isu negara Islam yang bertujuan menjauhkan bukan Melayu dari PAS dan PR. Isu ini sering dimainkan pada setiap kali Pilihanraya. Begitu juga dalam kes azan di Selangor di mana BN menuduh Teresa Kok terlibat dalam isu ini.
Selain itu BN sehari dua cuba membangkitkan isu derhaka kepada Raja-Raja Melayu untuk memburuk-burukkan imej PR di mata rakyat. PR khasnya di Perak dituduh sebagai penderhaka kerana didakwa tidak mahu tunduk kepada keputusan Sultan melantik MB dari kalangan BN.
Sedangkan PR tidak bersetuju dengan keputusan itu berdasarkan perlembagaan negeri di mana MB hanya boleh dilucutkan jawatan melalui 3 cara iaitu undi tidak percaya di DUN; meletakkan jawatan dengan rela atau yang ketiga DUN dibubarkan.
Malah menurut Khalid, BN lah yang sebenarnya derhaka kepada Raja-Raja Melayu kerana merekalah yang meminda perlembagaan mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu pada tahun 90-an dulu. BN sebenarnya dalam kelemasan sekarang kerana rakyat mula sedar kegagalan dan kelemahan BN setelah memerintah negara selama 50 tahun.
"Ekonomi makin parah, rasuah membarah, harga barang melambung, politik kacau bilau dan ketelusan dan keadilan tiada lagi" ujar Khalid.
Khalid berkata demikian pada ceramah beliau di perkarangan Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil di sini malam tadi.

Comments