PRK KT : AHMAD SAID TAK PUAS HATI CALON BN ? ~ Ref Malaysiakini

Jarang sekali pemimpin BN tidak bercakap besar dan berkata benar tentang calon pilihanraya mereka. Namun itu yang berlaku semalam apabila Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said secara terang-terang merendahkan kredibiliti calon BN, Wan Farid Wan Salleh.
Bila wartawan bertanya kepada Mat Said tentang Wan Farid dengan selamba Mat Said menjawab dengan nada yang tidak puas hati.
"Kalau kata puas hati, payahlah, bagaimana hendak kata berpuas hati, benda (perkembangan) yang kita tidak tahu. Kita pertingkatkan dari semasa ke semasa," kata Ahmad Said selepas melawat bilik media pilihanraya kecil Kuala Terengganu semalam.
"Kalau anda hendak kita berpuas hati semua sekali, anda buat robot (sebagai calon) pun tidak menjadi. Mana ada seseorang yang sempurna? tambah Mat Said lagi.
Terbukti Mat Said tidak puas hati dengan Wan Farid. Mungkin juga Mat Said mempunyai pilihan lain selain Wan Farid tetapi terpaksa tunduk dengan kemahuan Imam Hadhari dan budak tingkat 4 yang memang mahukan Wan Farid.
Tidak syak di kalangan pemimpin Umno dan BN sendiri ramai yang tidak menyenangi Wan Farid yang dikatakan tidak mesra rakyat. Ini menjadi tugas berat bagi BN bagi menyaingi calon PAS YB Mohd Abdul Wahid Endut memang terkenal dengan sifat ramah, mesra rakyat dan sering turun padang setelah 5 penggal menjadi YB, sepenggal menjadi Exco Kerajaan Negeri dan lebih 2 tahun menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu.
Wahid memang tidak dipertikaikan dari segi karisma, kredibiliti dan hubungannya dengan rakyat. Tidak kira samada orang melayu, cina atau India beliau memang cukup dikenali di kawasan ini. Malah beliau mula mendekati penduduk Bandar Kuala Terengganu sejak tahun 1986 lagi di mana ketika itu beliau bertanding sebagai calon PAS DUN Bandar. Selain itu di kalangan orang Melayu, Wahid dan keluarganya amat dikenali kerana keluarganya adalah ahli perniagaan yang berjaya di daerah tersebut.

Comments