PEMUDA BUKIT KATIL BUKTIKAN PAS TIDAK DIPINGGIRKAN ~ Ref Malaysiakini

Bandaraya Melaka : Kejayaan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil menganjurkan Kejohanan Bowling Terbuka Piala Ketua Pemuda Negeri Melaka membuktikan bahawa PAS terus diterima oleh masyarakat. Tohmahan yang mengatakan orang PAS hanya bergaul di kalangan sesama mereka adalah tidak benar.

Kejohanan Bowling yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka menarik minat 92 peserta dari seluruh pelusuk negeri Melaka. Ianya telah diadakan di Ampang Superbowl, Mahkota Parade, Melaka Sabtu lalu

Pengarah Program, Jauhar Dawi berkata kesudian pemuda dari seluruh Melaka menyertai kejohanan ini membuktikan bahawa PAS terus diterima masyarakat walaupun pelbagai tohmahan dan tuduhan dilemparkan kepada PAS oleh media.

"PAS juga membuktikan PAS tidak anti sukan, kesenian dan lain-lain kegiatan sosial sebaliknya PAS menampilkan suatu kelainan dalam penganjurannya dengan penyertaan peserta yang semuanya menutup aurat, menghormati waktu solat, menjaga akhlaq dan tiada pergaulan bebas lelaki dan perempuan".
"Kita akan meneruskan program ini dari masa ke semasa bagi mendekatkan PAS dengan masyarakat dan pemuda" kata Jauhar yang juga merupakan Bendahari Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil.
Sementara itu Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek berkata Pemuda PAS akan sentiasa berusaha untuk mendekati pemuda di negara ini dengan menganjurkan program-program yang bermanfaat sebagai alternatif kepada program-program maksiat yang dianjurkan oleh kerajaan BN yang memerintah sekarang.

"Ramai anak-anak muda yang hanyut dalam dunia khayalan dan hiburan semata-mata, malangnya kerajaan yang ada tidak mengambil perhatian serius kepada masalah ini malah mereka menggalakkan program-program melalaikan terus dianjurkan".

"Pemuda PAS wajib menangani perkara ini dengan tampil menganjurkan program berbentuk sukan, kesenian dan rekreasi yang sesuai dengan Islam" kata beliau dalam ucapan perasmian sebelum pertandingan dimulakan.

Dalam pertandingan itu Adam Ronny diisytiharkan sebagai pemain terbaik dengan jatuhan pin sebanyak 628 pin manakalan kumpulan Fireball menjuarai acara beregu dengan jatuhan pin sebanyak 2359 pin. Tempat kedua dimenangi oleh beregu Keliru dan ketiga beregu Rabbani masing-masing dengan jatuhan pin sebanyak 2210 dan 2117 pin.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari dan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek.
Keterangan gambar :
Atas - Juara pertandingan beregu kumpulan Fireball bergambar bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari.
Tengah : Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek bermesra dengan para peserta.
Bawah : Adly sedang menyampaikan hadiah kepada Peserta Terbaik kejohanan Adam Ronny yang menjatuhkan pin sebanyak 626 pin.

Comments