WANITA UMNO BAKAL BERPECAH? ~ Ref Malaysiakini

Wanita Umno bakal berpecah?
Shahrizat seolah-olah sudah tidak sabar dengan kerenah Rafidah yang terus perasan mendapat sokongan ramai. Hari ini Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta Ketuanya, Rafidah Aziz supaya mempertimbangkan untuk mempercepatkan tarikh peralihan kuasa jawatan tertinggi sayap itu.

Shahrizat yang terus menerima pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita Umno mahu langkah itu diambil supaya selaras dengan pemilihan parti peringkat pusat Mac depan.

Beliau berkata, permohonan itu dibuat berdasarkan perkembangan Umno masa kini.

Menurutnya beliau masih menghormati pelan peralihan jawatan yang diumumkan Rafidah kepadanya untuk jawatan Ketua Wanita Umno Malaysia.

Beliau memohon kebijaksanaan serta kerjasama Rafidah untuk mempertimbangkan tarikh peralihan jawatan itu diselaraskan seiring sejalan dengan Umno induk, Pemuda, Puteri pada Mac 2009 sempena perhimpunan Agung Umno iaitu tiga bulan lebih awal daripada bulan Jun.

Shahrizat berkata, semasa Rafidah mengumumkan pelan peralihan jawatan itu Ogos lepas, Perhimpunan Agung Umno dijadualkan berlangsung pada Disember ini, manakala tarikh peralihan kuasa antara Presiden Umno, Dollah Badawi dan Timbalannya, AlNajib Tun Razak dijadualkan pada 2010.

Bagaimanapun Perhimpunan Agung Umno ditangguhkan sehingga Mac depan, manakala tarikh peralihan kuasa antara Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga dipercepatkan.

Sehingga hari ini Rafidah telah memperoleh 116 pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita, manakala Shahrizat pula mendapat 73 pencalonan.

Bagi jawatan Naib Ketua pula Shahrizat menerima 113 pencalonan.

Nampak jelas yang Shahrizat sebenarnya mahukan Rafidah berundur selewat-lewatnya pada Mac 2009 iaitu ketika persidangan agung pergerakan pada tarikh tersebut.
Esok Wanita Umno akan mengadakan mesyuarat exconya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini. Mesyuarat ini mungkin menjadi panas kerana saya yakin Rafidah tidak akan mudah tunduk kepada kemahuan Shahrizat yang tidak sabar lagi untuk menduduki kerusi empuk no 1 Wanita Umno itu.
Andai Rafidah tidak mahu berundur ada kemungkinan Shahrizat akan menentangnya nanti kerana yakin beliau berupaya untuk menumbangkan Rafidah yang penuh dengan kontroversi itu. Jika ini menjadi kenyataan maka sudah tentu akan berlaku perpecahan dalam Wanita Umno.

Comments