PEMUDA MELAKA KEPALAI ANTI-MUQABALAH - Ref Malaysiakini

Hebat nampaknya Pemuda Melaka sehingga dikatakan mengepalai 'pasukan' anti-Muqabalah dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat siang tadi. Negeri-negeri lain yang tidak setuju dengan muqabalah lain ialah Kelantan dan Negeri Sembilan.

Bagi saya isu muqabalah maupun muzakarah ini sudah selesai tidak perlu diungkit-ungkit lagi kerana pimpinan tertinggi juga sudah membuat keputusan bahawa tiada muzakarah yang telah, sedang dan akan dilakukan pada masa akan datang. Jadi saya rasa semua perwakilan sudah memahaminya. Tidak usahlah kita terikut-ikut dengan mainan media yang sentiasa mengintai peluang untuk 'menembak' kita.

Saya mengharapkan perbahasan perwakilan pada Muktamar Agung PAS Pusat yang bermula esok tidak lagi menyentuh isu ini dengan panjang lebar. Lebih baik rasanya perwakilan memberikan pandangan bagaimana untuk mempertahankan kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat; pengisian program untuk kerajaan-kerajaan tersebut; usaha memperkuatkan lagi peranan PAS di dalam kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat serta persediaan PAS jika benar Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan pusat yang baru.

Para perwakilan juga kena sedar bahawa Pakatan Rakyat(PR) sudah memerintah 5 negeri. Kegagalan atau kejayaan PR memerintah dengan baik di 5 buah negeri ini akan menjadi penentu samada PR akan dipilih semula di 5 buah negeri tersebut. Jika berjaya Insya Allah kita akan dapat menyapu bersih semua negeri pada pilihanraya umum akan datang.

Di harapkan perwakilan akan berbahas dengan matang dan sedar bahawa kita sekarang adalah sebahagian dari kerajaan bukan pembangkang lagi.

Selamat Bermuktamar

Comments