BEKAS TYT MELAKA MENINGGAL. TAKZIAH KEPADA KELUARGA ALLAHYARHAM

Bekas Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin meninggal dunia hari ini.

Baru minggu lepas saya membuat posting tentang Makam Pahlawan, hari ini Insya Allah Makam ini akan berpenghuni.

Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T.
Latarbelakang Allahyarham
Tun Syed Ahmad Shahabudin yang meninggal dunia hari ini pada usia 83 tahun kerana sakit tua adalah Yang Dipertua Negeri Melaka kelima dari 1984 hingga 2004 dan merupakan seorang pemimpin yang disegani dalam bidang politik, pentadbiran, sukan dan kebajikan.
Tun Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabudin dilahirkan pada 4 Mei 1925 di Kulim, Kedah, juga pernah menjadi Menteri Besar Kedah dari tahun 1967 hingga 1978.
Anak ketiga daripada lima adik beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kulim dari 1932 hingga 1935 sebelum melanjutkan pelajarannya di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star, sehingga beliau lulus peperiksaan Senior Cambridge pada 1947.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai pegawai kerajaan di Pejabat Kewangan Negeri di Alor Star pada 1947 dan berkhidmat sehingga 1955.Syed Ahmad mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Sharifah Haniffah Syed Alwi pada 1950 dan dikurniakan seramai enam orang anak.
Sharifah Haniffah, isteri pertamanya, meninggal dunia pada 1993 di Kuala Lumpur.
Pada 1960, beliau bertemu jodoh dengan Toh Puan Sharifah Marfuza Sheikh Mohd Osman dan dikurniakan empat orang cahaya mata.Minat beliau dalam bidang politik berputik sejak menuntut di kolej dan mula aktif setelah berkhidmat dengan kerajaan.
Syed Ahmad memenangi pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan 1955 mengalahkan calon PAS dan Parti Negara dengan majoriti 27,000 undi bagi kawasan Kedah Utara (Padang Terap dan Kubang Pasu), dan beliau dilantik sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Exco).
Kewibawaan beliau terserlah ketika dilantik sebagai Menteri Besar Kedah selama 10 tahun dari 1967, dan pada 1978, Syed Ahmad telah bertanding pula kerusi Parlimen Padang Terap dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sehingga 1980.
Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura dan berkhidmat selama empat tahun.Ketika bergiat cergas dalam politik, Syed Ahmad memegang pelbagai jawatan penting di Kedah.Beliau pernah menjadi Penolong Setiausaha Umno Kedah (1951-1954), Setiausaha Umno Kedah (1954-1967), Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah dan Barisan Nasional Kedah (1967-1978), Anggota Majlis Tertinggi Umno (1968-1978) dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah dan Barisan Nasional Kedah (1978-1984).
Dalam bidang kemasyarakatan pula, beliau pernah menerajui Majlis Kebangsaan Persatuan Jaksa Pendamai Malaysia selain menjadi Pengerusi Persatuan Jaksa Pendamai Negeri Kedah, Pengerusi St. John Ambulans Kedah dan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Kedah.
Berdasarkan pengalaman dan semangat kepimpinannya yang penuh dedikasi, Syed Ahmad dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka pada 4 Dis 1984, menggantikan Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan.
Sejak beliau menjadi Yang Dipertua Negeri Melaka (1984-2004), Melaka semakin maju dan pesat membangun sehingga terkenal sebagai destinasi pelancongan terkemuka di rantau ini.
Syed Ahmad minat membaca dan beliau mempunyai rekod cemerlang dalam sukan dan olahraga pada zaman mudanya.Sukan golf merupakan sukan kegemarannya dan beliau pernah melibatkan diri dalam Kejohanan Senior Golf Malaysia.
Pada 2003, Syed Ahmad dilantik sebagai Canselor Kolej Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) yang kini dikenali Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).Antara kegemaran unik Syed Ahmad ialah menyimpan koleksi topi dan beliau memiliki beratus jenis topi dari seluruh negara.

Al Fatihah

Comments