SOKONG PEMBUKAAN SEMULA TAPAK PERNIAGAAN DI HADAPAN BASTION HOUSE

Saya menyokong cadangan penjaja-penjaja kecil di negeri ini yang meminta kerajaan negeri Melaka membuka semula tapak perniagaan di hadapan Bastion House.

Pembukaan semula tapak perniaagaan ini akan memberikan peluang kepada para peniaga berniaga semula untuk menambah pendapatan mereka. Ini kerana sebahagian besar bekas-bekas penjaja di sini dahulu tidak sanggup untuk menyewa kedai di kompleks membeli belah di Dataran Pahlawan yang sewanya agak tinggi.

Selain itu dengan pembukaan semula tapak perniagaan ini, ia akan menjadi tarikan kepada kawasan ini untuk kembali meriah seperti sebelum penutupannya dahulu. Ini kerana sebilangan besar para pelancong lebih gemar membeli barangan dari gerai terbuka berbanding kompleks membeli belah. Mereka sebenarnya ingin mencari kelainan dari apa yang terdapat di negara mereka sendiri yang mempunyai gedung membeli belah yang lebih hebat dan besar.

Kerajaan negeri mesti menyediakan tempat-tempat menjaja yang menarik seperti ini agar keaslian dan kelainan ini terpelihara dan ianya akan menjadi daya tarikan kepada pelancong asing. Hasrat kerajaan untuk menambah kawasan perniagaan orang Melayu mesti direalisasikan. Jadi antaranya mengujudkan tapak-tapak perniagaan seperti ini, asalkan ianya mestilah kemas teratur dan menarik.

Untuk membeli dan menyewa kedai yang mahal mungkin penjaja-penjaja ini tidak mampu jadi mengapa tidak kerajaan mengujudkan tapak-tapak sebegini bagi mencapai matlamat 30 % pemilikan tapak perniagaan untuk bumiputera di dalam Bandaraya Melaka.

Selain itu saya juga mencadangkan kerajaan membuka semula tapak perniagaan di kawasan Bazar Mara di Jalan Laksamana yang dirobohkan beberapa tahun dahulu demi untuk menambahkan lagi bilangan peniaga bumiputera di dalam Bandaraya Melaka yang semakin berkurangan di sebabkan pertambahan gedung-gedung perniagaan yang besar.

Jika kawasan-kawasan perniagaan khas untuk orang Melayu tidak didirikan atau terus dirobohkan kita bimbang peniaga-peniaga Melayu ini tidak dapat bersaing dengan peniaga-peniaga lain.

Comments