TEKANAN MENAMBAH PENINGKATAN

Sifat perjuangan Islam ialah semakin ditekan semakin kuat perjuangan tersebut. Semakin ditindas semakin hebat perjuangan dan semakin dizalimi semakin ramai yang akan simpati dan menyertai perjuangan Islam yang suci ini.

Inilah yang berlaku di Bukit Katil. Kezaliman pemerintah yang merobohkan Pejabat PAS Kawasan dan PASTI Jaya Insan serta 'merampas' Pejabat PAS Bukit Baru akhirnya dibalas dengan kemenangan PAS di Dun Bukit Baru dan Parlimen Bukit Katil. Tidak cukup dengan tindakan zalim tersebut, mereka mengganggu setiap ceramah yang diadakan di sekitar Dun Bukit Baru dengan mengadakan ceramah berhampiran supaya rakyat yang datang mendengar ceramah tidak dapat menumpukan perhatian kepada ceramah yang disampaikan oleh penceramah PAS. 

Rentetan kezaliman demi kezaliman dilakukan sehingga ke kemuncaknya penyokong-penyokong mereka membaling objek keras sehingga beberapa penyokong PAS dan PR cedera pada satu program raksasa ketika menjelang PRU 13 dahulu.

Mereka lupa bahawa doa orang yang kena zalim tiada hijab di sisi Allah. Akhirnya Allah memakbulkan doa setiap mereka yang dizalimi. Doa anak-anak PASTI, doa penderma-penderma yang membina Pejabat dan PASTI Jaya Insan, doa orang yang ditangkap ketika himpunan membantah perobohan PASTI, doa mereka yang hadir mendengar ceramah tetapi digaggu, doa mereka yang cedera dibaling dengan objek keras dan doa seluruh pendokong perjuangan dan keadilan yang melutut dan merayu kepada Allah supaya manusia yang zalim dikalahkan pada PRU 13 lalu. Akhirnya ia menjadi kenyataan.

Kini Allah memakbulkan doa kita semua dengan siapnya Pejabat PAS di Ayer Molek yang kita beli dengan harga lebih dari RM350,000; siapnya Pejabat PAS Kg Bukit Katil dengan harga lebih dari RM250,000 dan lebih 2 tahun lalu PASTI Jaya Insan telah beroperasi di sebuah rumah yang dibeli dengan harga lebih RM250,000. 

Allah juga memakbulkan doa kita semua apabila mengurniakan kemenangan di Dun Bukit Baru suatu kemenangan yang disifatkan oleh kumpulan penzalim itu sebagai mustahil dan mimpi di siang hari. Mereka lupa Allah berkuasa untuk memberikan kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya walaupun pelbagai penipuan, penyelewengan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan berlaku semasa PRU13 dahulu.

Kita mendoakan supaya ahli dan penyokong PAS terus istiqamah dan utuh imannya untuk mendepani cabaran yang lebih besar pada masa hadapan. Musuh-musuh Islam tidak pernah duduk diam untuk memadamkan cahaya Allah. Tetapi kita yakin dengan ayat Allah bahawa cahaya Allah ini tetap akan dipelihara walaupun dibenci oleh orang-orang yang ingkar.

Sifat perjuangan Islam tidak akan lumpuh dan lenyap walau bagaimana zalim dan dahsyatnya tekanan dan kezaliman dilakukan ke atas mereka.....TEKANAN MENAMBAH PENINGKATAN.


Comments