PAS selesai lantik saf kepimpinan baru, Adly PJ Melaka yang baru

Saf kepimpinan PAS Pusat sessi 2011/2013 telah diumumkan oleh Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada mesyuarat jawatankuasa kerja pusat kali pertama petang ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru Dr Abd Rani Osman dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Selangor yang baru menggantikan Datuk Dr Hasan Ali, yang merupakan Exco Kerajaan Negeri manakala di Terengganu Ahli Parlimen Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut menggantikan Datuk Harun Taib.
Hj Adly Zahari dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Melaka menggantikan Abdul Ghani Abd Rahman sementara di Negeri Sembilan, Adun Paroi Mohd Taufek Abd Ghani diangkat menerajui parti itu menggantikan Zulkefly Mohamad Omar dan di Sabah Aminuddin Ali pula dilantik pemimpin nombor satu negeri di bawah bayu itu menggantikan Muhamad Abdullah.
Pesuruhjaya PAS di negeri-negeri lain dikekalkan iaitu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Kelantan), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang), Abu Bakar Hussain (Perak), Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Kedah), Salleh Man (Pulau Pinang), Hashim Jasin (Perlis), Mohd Nor Mohamad (Wilayah Persekutuan), Adam Ahid (Sarawak) dan Datuk Dr Mahfodz Mohamed (Johor).
Datuk Mustafa Ali kekal memegang jawatan setiausaha agung, buat penggal kedua sementara Tuan Ibrahim diangkat sebagai ketua penerangan yang baru menggantikan Idris Ahmad.
Mustafa akan dibantu tiga penolong setiausaha agung iaitu Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ahmad Sabki Yusuf.
Hadi berkata keputusan itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat yang diadakan itu.
“Semua lantikan ini berkuat kuasa serta-merta dan setiausaha agung akan menghantar surat kepada mereka. Ia dibuat berdasarkan perlembagaan PAS di mana presiden boleh melantik jawatan tertentu dengan persetujuan jawatankuasa kerja pusat.
“Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat kali pertama hari ini,” katanya.
Sementara itu, untuk jawatankuasa kerja PAS pusat yang dilantik ialah bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Idris, Asmuni Awie, Anuar Tahir, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Zulkefly Mohammed Omar dan Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus menjadikan keseluruhan jawatan itu seramai 25 orang.
Sumber : Malaysiainsider

Comments