TINDAKAN BIADAP KEPADA RUMAH ALLAH, YANG DIPERTUAN AGONG, SASTERAWAN DAN RAKYAT - BAKRIN

Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Negeri Melaka, Haji Bakrin Sidek kesal dan kecewa dengan sikap dan tindak tanduk polis yang sewajarnya melindungi orang awam dan para peserta himpunan dari berlaku insiden tidak diingini sebaliknya mencetuskan suasana huru-hara mengakibatkan ramai peserta himpunan mengalami kecederaan.

"Pada mulanya polis benarkan perarakan itu, tiba-tiba bila peserta hampir dengan Istana Negara meraka bertindak kasar dengan melepaskan gas pemedih mata. Mungkin ini bukan kehendak mereka tetapi terpaksa ikut telunjuk BN yang tidak peduli keselamatan rakyat dan meremehkan suara rakyat yang mahu mendaulatkan bahasa dari oupus kerana kerakusan BN".

"Peserta himpunan ada warga emas, Orang Kurang Upaya, kanak-kanak dan wanita juga terpaksa menghadapi gas pemedih mata dan insiden kejar-mengejar yang menjadikan suasana hiruk-pikuk sedangan PDRM berperanan menjaga keselamatan. Saya sangat kecewa dengan tindakan polis yang hanya mengikut telunjuk BN yang terang menganiaya rakyat".

"Ada antara mereka yang muntah, pitam dan pengsan, Polis langsung tidak menunjukkan kasihan belas sehingga memuntahkan puluhan malah mungkin ratusan gas pemedih mata, rakyat bukannya hendak membuat kekacauan tetapi hanya untuk berarak dan berhimpun secara aman".

Menurutnya jika pihak Polis memberikan kerjasama sudah tentu tidak akan ada masalah dan selepas 1 jam ianya akan tamat dengan aman, tiada kekacauan dan kesesakan lalu lintas yang teruk. "Kekacauan dan kesesakan lalu lintas berlaku kerana pihak menembak gas pemedih mata menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menganggu lalu lintas".

Katanya pihak polis perlu menghormati rakyat yang bersungguh-sungguh hadir untuk menunjukkan sokongan memartabatkan bahasa melayu dan bukan datang seperti 'penjenayah' yang wajar diperlakukan sebegitu rupa.

"Pihak Polis bukan sahaja tidak menghormati manusia, dengan rumah Allah pun mereka biadap dengan menembak gas pemedih mata ke dalam kawasan Masjid Negara, ini tindakan yang cukup biadap dan tidak bertamadun sehingga Rumah Allah pun mereka sanggup lakukan sedemikian rupa" kata beliau dengan tegas.

Selain itu tindakan FRU melepaskan gas pemedih mata terhadap rakyat yang berarak ke Istana Negara bagi mengiringi pimpinan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong disifatkan sebagai menderhaka terhadap raja.

Ini kerana pihak istana telah memperkenankan pimpinan GMP menyerahkan memorandum tersebut dan diiringi rakyat yang turut membantah dasar tersebut.

Bakrin juga kesal kerana pihak keselamatan juga tidak menghiraukan dan tidak menghormati pejuang-pejuang bahasa seperti Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said yang berarak ke Istana Negara.

Comments