SIMPATI KEPADA RAKYAT KELANTAN, TERENGGANU DAN PAHANG ~ Ref Malaysiakini

Kita mendapat berita bahawa rakan-rakan kita di 3 negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang mula ditimpa musibah banjir sebagaimana tahun-tahun lepas. Sesungguhnya ia merupakan ujian Allah kepada hambanya. Banjir juga merupakan bala Allah yang duturunkan oleh Allah untuk menguji hambanya.

Saya mengharapkan rakan-rakan di sana redha dan menerimanya dengan tabah dan bersedia dengan segala persiapan dari segi fizikal dan spiritual. Bala banjir merupakan sesuatu yang pahit dan sukar untuk dihadapi sebagaimana musibah yang lain. Ianya amat berbahaya sehingga boleh meragut nyawa, harta benda dan keimanan seseorang.
Jadi kepada rakan-rakan kita di negeri-negeri lain saya mengharapkan kalian dapat menghulurkan bantuan dalam apa juga bentuk untuk meringankan beban rakan-rakan kita di 3 negeri tersebut. Bantuan boleh disalurkan kepada NGO-NGO tertentu seperti Yayasan Amal Malaysia dan lain-lain.

Media melaporkan hari ini bahawa banjir di Terengganu bertambah buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan pagi ini meningkat kepada 3,484 orang berbanding 1,743 orang petang semalam.

Daerah Besut paling buruk dilanda banjir apabila jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 1,556 orang berbanding 954 petang semalam, diikuti Setiu (964), Hulu Terengganu (609) dan Marang (355).

Di Kelantan pula sehingga 10 pagi ini, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 26 pusat pemindahan di empat daerah iaitu daerah Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Mas kini meningkat kepada 3,415 orang melibatkan 620 keluarga.

Jumlah mangsa banjir meningkat sebanyak 1,018 orang berbanding jumlah yang dilaporkan malam semalam iaitu 2,397 orang. Tiga lagi pusat pemindahan dibuka di daerah Pasir Mas. Jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan di daerah Jeli adalah 1,844 orang manakala tujuh pusat pemindahan di daerah Tanah Merah pula melibatkan 346 orang.

Sementara di Pahang pula, keadaan banjir daerah Temerloh dan Cameron Highlands pada pagi ini tidak berubah dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan kekal 25 orang, menurut jurucakap bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Daerah Temerloh masih mencatatkan 12 mangsa dari kampung Kuang, Lanchang yang kini ditempatkan di balai raya Taman Murni manakala 13 mangsa daripada dua keluarga di Cameron Highlands masih berada di dewan orang ramai Ringlet.

Comments