UMNO TIDAK MAMPU TANGANI RASUAH ~ Ref Malaysiakini

"Malangnya Lembaga ini (Lembaga Disiplin dan Tatatertib) tidak mempunyai prasarana untuk mengendalikan kes-kes sebegini secara berkesan, (oleh itu) sebaik mungkin bagi Umno menggalakkan sistem anti-rasuah oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebab parti kita belum nampak mampu tangani gejala ini,".

Itulah kenyataan jujur Menteri Luar yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim terhadap kegagalan dan ketidakmampuan Umno untuk menangani gejala rasuah dalam pemilihan Umno.

Saya menyeru agar seluruh rakyat Malaysia membuka mata dan telinga seluas-luasnya agar mereka sedar bahawa hampir seluruh pemimpin Umno dan kerajaan dari Umno yang ada sekarang adalah pengamal-pengamal rasuah sehingga seorang pemimpin seperti Dr Rais Yatim pun seolah-olah 'fed up' dengan senario ini.

Sebelum ini Rais yang juga seorang ahli politik veteran, telah secara sinis mencadangkan supaya Umno mengeluarkan tender untuk semua jawatan yang dipertandingkan. Menurutnya mana-mana calon yang berani meletakkan sebut harga tertinggi wajar untuk menang.

Rais jelas bengang dan bosan dengan tindakan calon-calon lain yang menggunakan duit untuk mendapatkan pencalonan dari bahagian-bahagian. Pemimpin-pemimpin dan perwakilan-perwakilan dari bahagian juga didakwa meletakkan harga dan 'demand' kepada bakal-bakal calon jika mahu diri mereka dicalonkan oleh bahagian masing-masing.

Gejala ini semakin hari semakin membarah. Malangnya pemimpin no 1 dan no 2 Umno tidak kisah dan tidak memandangnya dengan serius. Mungkin kerana ianya sudah tidak dapat dibendung lagi atau mereka dan kuncu-kuncu mereka juga terpalit sama.

Jika tindakan diambil kepada pengamal-pengamal rasuah ini sudah tentu semua orang kena dan tidak ada yang akan layak untuk memimpin Umno. Sebab itulah Umno menghalang BPR dari turut campur dalam urusan membenteras rasuah pada setiap kali pemilihan Umno. Mereka sanggup melihat gejala rasuah yang jijik dan kotor ini terus membaluti parti mereka. Lebih malang ini rakyat dan negara kita diperintah oleh pemimpin yang jijik dan kotor iaitu pengamal rasuah yang jelas berdosa di sisi Allah S.W.T.

Oleh itu saya sekali lagi mengharapkan rakyat sedar dan insaf tentang perkara ini serta bangkit menolak Umno dan BN selewat-lewatnya pada pilihanraya Umum akan datang. Jika tidak negara kita akan hancur dan sukar untuk kita membangunkannya semula.

Comments